Resepi Dodol

Resepi Dodol yang Pekat dan Sedap

Bagaimanakah cara untuk memasak dodol yang pekat dan sedap? Dodol adalah merupakan sejenis makanan warisan yang mempunyai tekstur yang kenyal dan mempunyai rasa yang manis. Terdapat pelbagai jenis rasa dan warna dodol yang telah divariasikan. Antaranya dodol original (merah), dodol durian dan dodol pandan. Dodol durian adalah antara dodol yang menjadi pilihan ramai terutamanya bagi peminat durian.

Dodol merupakan sejenis pemanis mulut tradisional yang sudah menjadi makanan turun temurun bagi masyarakat melayu. Pada dulu kala, kebiasaannya dodol sentiasa dimasak secara bergotong-royong menggunakan periuk kawah yang besar dan mengambil tempoh masa yang lama untuk disiapkan. Anda juga boleh membuat dodol anda sendiri di rumah. Untuk menjimatkan masa dan menggunakan perkakas moden, anda boleh memasak dodol dengan menggunakan periuk tekanan Noxxa. Dalam artikel ini saya akan menunjukkan kepada anda tentang cara-cara untuk menghasilkan dodol yang pekat dan sedap.

Pengenalan

Dodol mudah untuk didapati di Melaka. Jika anda berkunjung ke Melaka, anda dapat membawa pulang buah tangan dodol untuk diberikan kepada kawan-kawan. Anda juga boleh melihat dan merasa pelbagai jenis dodol yang mempunyai pelbagai jenis perisa dan warna. Dodol sesuai dijadikan sebagai pencuci mulut atau kudapan. Rasanya yang kenyal serta manis berlemak begitu menyelerakan. Mari kita cuba resepi dodol yang pekat dan sedap ini.

Masa Memasak: 3 jam 30 minit

Jumlah Hidangan: 5-6 orang

Bahan-Bahan Untuk Resepi Dodol

  • 1 kg gula merah
  • 5 cawan air masak
  • 1 kg santan
  • 500 gram tepung pulut
  • 4 sudu besar tepung beras
  • Secubit garam
  • Daun pandan

Cara- Cara Untuk Memasak Resepi Dodol

1. Mula-mula sekali, sediakan periuk kemudian masukkan gula merah bersama air ke dalam periuk tersebut. Tambahkan daun pandan yang telah diikat ke dalam periuk tersebut untuk membangkitkan aroma pandan dan menambahkan selera dodol anda. Gaulkan sehingga gula merah sebati.

2. Di dalam mangkuk yang berasingan, satukan tepung pulut, tepung beras bersama santan dan gaulkan sehingga tepung pulut itu larut dan sebati. Kemudian, tapiskan campuran santan, tepung beras dan tepung pulut menggunakan penapis agar kita dapat tekstur yang halus dan tidak terdapat tepung yang berketul untuk mendapatkan tekstur dodol yang kenyal sekata.

3. Kemudian, apabila gula merah telah larut di dalam periuk, masukkan campuran bancuhan tepung pulut, tepung dan santan ke dalam periuk tersebut. Kacau dan gaulkan sebati semua bahan.

4. Masukkan juga sedikit garam agar memberikan rasa berlemak pada dodol kita nanti.

5. Teruskan mengacau sentiasa dodol ini lebih kurang 50 minit atau sehingga dodol menjadi pekat dan berwarna gelap. Pastikan anda sentiasa mengacau dodol ini agar tidak hangit dan melekat pada periuk. Oleh itu, seeloknya anda menggunakan periuk yang tidak melekat.

6. Apabila dodol sudah bertukar ke warna gelap dan mempunyai tekstur yang kenyal dan pekat bermaksud dodol sudah siap dimasak.

7. Sejukkan terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam bekas.

Selamat mencuba.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

12 + 13 =