Resepi tomyam putih

Resepi Tomyam Putih Lazat Dan Sedap

Bagaimanakah cara untuk memasak resepi tomyam putih yang sedap? Menu tomyam merupakan menu masakan yang popular dikalangan rakyat Malaysia. Menu ini juga sering didapati di kedai masakan Thailand atau Siam. Masakan tomyam amat sesuai dihidangkan untuk makan tengah hari atau makan malam. Ia juga boleh dinikmati bersama nasi putih, bihun atau kuey teow.

Pengenalan

Terdapat dua jenis masakan tomyam yang diketahui ramai iaitu tomyam merah dan tomyam putih. Masakan tomyam merah selalunya terasa lebih pedas berbanding tomyam putih. Ini kerana, masakan tomyam putih tidak menggunakan pes yang mengandungi cili merah seperti masakan tomyam merah.

Tomyam putih juga amat mudah dan cepat untuk disediakan. Ia juga hidangan yang boleh dinikmati oleh kanak-kanak. Untuk jenis lauk pula, tomyam putih sesuai dicampur dengan ayam, daging atau makanan laut kegemaran anda. Mari kita cuba membuat resepi tomyam putih ini di rumah untuk hidangan seisi keluarga.

Resepi tomyam putih

Bahan-Bahan Untuk Resepi Tomyam Putih

  • Separuh ekor ayam yang dipotong kecil
  • 10 ekor udang
  • 4 ulas bawang putih (ditumbuk)
  • 2 batang akar ketumbar
  • 4 biji cili padi dibelah tengah (ikut tahap kepedasan diingini)
  • 1 inci lengkuas (dihiris tebal)
  • 3 helai daun limau purut (dibuang urat tengah)
  • 2 batang serai (dititik)
  • 2 biji tomato dibelah empat bahagian
  • 1 biji bawang holland dibelah empat
  • 1 batang lobak merah dihiris bulat
  • 1 mangkuk kecil cendawan (ikut selera)
  • 2 biji limau nipis diambil jusnya
  • 3 sudu sos ikan thai
  • Setengah cawan susu cair
  • Beberapa tangkai daun ketumbar
  • Air secukupnya
  • Garam secukupnya

Cara-Cara Memasak Resepi Tomyam Putih

  1. Masukkan air ke dalam periuk. (Anggaran sukatan air melebihi paras kuantiti ayam dan udang yang akan diletakkan nanti).
  2. Masukkan bawang putih, daun limau purut, serai, lengkuas dan cili padi ke dalam air dan masak sehingga mendidih.
  3. Selepas itu, masukkan ayam bersama tomato dan lobak merah. Setkan api sederhana. Masak sehingga ayam empuk.
  4. Setelah itu, masukkan udang, bawang holland dan cendawan.
  5. Setelah kuah mereneh dan udang sudah masak, masukkan sos ikan dan jus limau nipis. Kacau sebati dan perasakan dengan garam secukupnya.
  6. Kemudian, masukkan pula susu cair. Setelah mereneh, masukkan daun ketumbar. Kacau rata seketika dan tutup api. Siap untuk dihidangkan.

Tips Masakan:

  • Boleh campurkan dengan pelbagai lauk kegemaran seperti daging, ayam, udang, sotong atau lala.
  • Boleh tambah sayur-sayuran lain seperti putik jagung, kobis atau bunga kobis ikut kegemaran anda.
  • Pastikan menggunakan periuk bersaiz besar supaya kuah tidak melimpah.
  • Jangan buka api terlalu kuat ketika memasak, cukup sekadar kuah mereneh.
  • Jika dimakan bersama nasi putih, boleh gu dengan telur dadar.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × five =