resepi bubur jagung

Resepi Bubur Jagung Enak Berlemak

Bagaimanakah cara untuk membuat resepi bubur jagung yang enak? Bubur jagung merupakan sejenis hidangan pemanis mulut yang berkuah. Selain bubur jagung terdapat juga jenis hidangan bubur pemanis mulut yang lain seperti pengat pisang, bubur kacang hijau, bubur pulut hitam, bubur kacang merah dan bubur atau pengat durian. Bubur jagung ini amat sesuai jika dihidang bersama kuih muih semasa minum pagi atau petang.

Pengenalan

Bubur jagung merupakan menu berkuah manis yang sesuai untuk dijadikan pemanis mulut. Selain itu, bubur jagung yang mempunyai rasa lemak, manis dan masin dapat membangkitkan selera dan membuatkan kita tambah berkali-kali. Cara membuat bubur jagung tidaklah sukar. Anda mungkin mengambil masa tidak sampai setengah jam untuk membuatnya. Bubur jagung juga boleh dihidangkan semasa panas atau boleh juga dimakan setelah disejukkan dalam peti sejuk.

Pada kali ini, penulis akan berkongsi dengan anda berkenaan dengan cara-cara untuk membuat resepi bubur jagung yang istimewa. Jom kita cuba membuatnya di rumah.

Bahan-Bahan Untuk Resepi Bubur Jagung

  • 3-4 batang jagung
  • Santan segar 500ml
  • Nisan / Gula melaka 3 keping
  • Air secukupnya
  • Sedikit garam (secukup rasa)
  • 3 sudu besar susu pekat
  • Sehelai daun pandan

Cara-Cara Untuk Membuat Resepi Bubur Jagung

  1. Hiris isi jagung dan masukkan semua dalam periuk. Tambahkan air hingga tenggelam sedikit daripada paras jagung. Sebelum memasak, boleh ambil dalam 2 senduk kecil isi jagung beserta sedikit air untuk dikisar hancur. Kemudian, masukkan semula ke dalam periuk. *Jika tidak, anda juga boleh tambahkan jagung tin (cream corn) 1 tin ke dalam periuk. Tujuannya adalah untuk memberikan rasa bubur yang kaya dengan jagung.
  2. Setelah itu, masukkan daun pandan yang disimpul dan masak jagung tersebut sehingga empuk kira-kira dalam 15 minit.
  3. Apabila jagung dah empuk, masukkan santan, nisan dan sedikit garam. Selepas itu, masukkan 3 sudu besar susu pekat manis. Kacau sedikit.
  4. Kacau sehingga nisan hancur dan larut. Kemudian rasa sedikit. Pastikan cukup rasa manis dan masin sedikit.
  5. Jika mahu masukkan sagu, masak sagu secara berasingan. Masak air sehingga menggelegak dan masukkan sagu. Pastikan air dimasak lebih supaya mudah sagu untuk mengembang. Masak sagu sehingga biji putih hilang. Setelah masak, tapiskan sagu dan lalukan air paip di atas penapis. Setelah ditoskan, masukkan sagu ke dalam bubur jagung dan kacau rata.

Tips Berguna:

  • Boleh gunakan santan kotak jika tiada santan segar.
  • Sentiasa kacau bubur dengan api perlahan setelah meletakkan santan supaya santan tidak menjadi berketul.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × two =