resepi puding roti

Resepi Puding Roti Dengan Kuah Custard Lemak

Bagaimanakah cara untuk membuat resepi puding roti dan kuah custard yang sedap? Seringkali buntu dengan lebihan roti potong di rumah yang hampir luput namun tidak habis dimakan. Selain menggunakannya untuk membuat agar-agar, anda juga boleh menggunakan lebihan roti potong untuk membuat puding roti. Puding roti amat sedap jika dimakan bersama kuah custard. Menu ini pasti akan menjadi kegemaran anak-anak di rumah.

Pengenalan

Puding roti adalah merupakan hidangan pemanis mulut yang mudah dan cepat untuk disediakan. Hidangan ini sesuai untuk dihidangkan semasa minum petang atau sebagai kudapan untuk seisi keluarga. Puding roti boleh dicampurkan dengan kismis, coklat cip atau parutan keju sebagai menambah kelazatannya. Selain itu, hidangan puding roti sering digandingkan dengan curahan sos custard. Ia akan membuatkan puding roti anda lebih sedap dan berlemak. Jadi, pada kali ini penulis akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk membuat puding roti yang enak beserta kuah custard lemak manis. Mari kita cuba!

Bahan-Bahan Untuk Resepi Puding Roti

  • 1 bungkus roti potong putih saiz jumbo
  • Separuh bongkah butter/mentega (jenis salted)- dicairkan
  • 4 cawan susu kotak susu full cream
  • 1 sudu kecil esen vanila
  • 3/4 cawan gula pasir
  • 3 biji telur
  • 1/2 cawan coklat cip (boleh tambahkan ikut selera)
  • 1/2 cawan kismis hitam

Bahan Untuk Kuah Custard:

  • 2 cawan air
  • 1 tin susu cair
  • 1/2 cawan tepung custard
  • 1/2 cawan gula pasir

Cara-Cara Memasak Resepi Puding Roti

  1. Mula-mula, carikkan roti menjadi cebisan-cebisan kecil. Ketepikan.
  2. Dalam mangkuk, masukkan telur, gula, butter yang telah dicairkan dan susu full cream. Kacau semua sehingga sebati.
  3. Kemudian, masukkan roti, kismis dan coklat cip ke dalam sebatian tadi. Gaul rata kesemuanya.
  4. Masukkan kesemua campuran sebatian ke dalam loyang. Bakar dalam oven pada suhu 180 C selama 45 minit dengan api atas bawah.

Untuk Kuah Custard:

  1. Dalam mangkuk, campurkan air, gula pasir, susu cair dan tepung custard. Kacau semuanya sehingga sebati dan tiada ketulan tepung custard.
  2. Tuangkan ke dalam periuk, buka api sederhana. Kacau perlahan-lahan sehingga kuah jadi sedikit likat. Kemudian tutup api.
  3. Biarkan sejuk.

Tips masakan:

  • Boleh taburkan sedikit parutan keju cheddar atau mozarella di atas puding roti sebelum dibakar dalam oven.
  • Sejukkan kuah custard dalam peti sejuk. Jika dihidang sejuk adalah lebih sedap.
  • Boleh juga tambahkan pisang atau kurma dalam puding roti.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eleven − 5 =