Bagaimanakah cara untuk memasak nasi goreng ikan masin yang sedap? Nasi goreng ikan masin merupakan antara menu kegemaran ramai untuk santapan makan malam. Selain itu, nasi goreng ini amat mudah dan ringkas untuk disediakan.
Pengenalan
Nasi goreng ikan masin merupakan antara jenis nasi goreng yang menjadi kesukaan ramai. Selain mudah, nasi goreng ini juga amat lazat dengan adanya rasa isi ikan masin di dalamnya. Anda boleh memasak nasi goreng ikan masin ini dalam dua variasi iaitu sama ada versi pedas atau versi tidak pedas. Untuk versi tidak pedas, ia sesuai dihidangkan untuk golongan kanak-kanak. Manakala versi pedas, anda boleh tambahkan cili padi atau cili api dalam bahan tumisan.
Namun, sebagai alternatif bagi mereka yang perlu masak untuk anak-anak dengan versi tidak pedas, anda juga boleh menikmati nasi goreng ini dengan sambal belacan. Ia sudah tentu menjadikan hidangan nasi goreng anda tidak cukup dengan hanya sepinggan. Mari kita pelajari cara-cara untuk membuat nasi goreng ikan masin ini untuk santapan di rumah.
Bahan-Bahan Untuk Resepi Nasi Goreng Ikan Masin
- 5 senduk nasi putih sejuk (digemburkan)
- 2 inci isi ikan tenggiri masin jeruk
- 1 sudu besar ikan bilis
- 1 inci kunyit hidup
- 5 biji cili api (abaikan jika tidak mahu pedas)
- 4 ulas bawang putih
- 2 biji bawang merah
- 1 sudu besar sos tiram
- 2 biji telur
- 1 ketul ikan masin tenggiri jeruk dipotong dadu
- minyak untuk menumis
Cara-Cara Memasak Resepi Nasi Goreng Ikan Masin
- Mula-mula, gorengkan 1 ketul ikan masin tenggiri jeruk yang dipotong dadu. Goreng sehingga garing. Ketepikan. Boleh lebihkan jika anda suka.
- Setelah itu, tumbuk bawang merah, bawang putih, kunyit, cili api, isi ikan tenggiri masin jeruk dan ikan bilis sehingga lumat.
- Kemudian, panaskan minyak, tumis bahan-bahan yang ditumbuk sehingga naik bau dan sedikit garing.
- Setelah itu, masukkan telur, biarkan ia garing, kemudian barulah kacau rata bersama bahan tumisan.
- Setelah itu, masukkan sayur sawi yang dipotong, sos tiram dan nasi putih. Perlahankan sedikit api, kemudian gaul rata kesemuanya. Jika kurang masin boleh tambahkan sedikit garam. Tidak perlu banyak kerana sudah ada rasa masin daripada ikan masin.
- Kemudian, taburkan ketulan ikan masin yang telah digoreng dan gaul rata kesemuanya.
- Tutup api dan siap untuk dihidangkan.
Tips masakan:
- Boleh juga gantikan cili api dengan cili kering kisar jika mahu lebih pedas.
- Boleh gantikan sayur sawi dengan sayur lain seperti lobak merah, bunga kobis dan putik jagung.
- Boleh hidangkan bersama sambal belacan dan timun.
- Gunakan nasi yang dimasak semalaman untuk tekstur lebih cantik dan nasi goreng yang lebih sedap.
Pelbagai Resepi Nasi Goreng
Nasi Goreng Belacan | Nasi Goreng USA |
Nasi Goreng Thai | Nasi Goreng Tomyam |
Nasi Goreng Ayam | Nasi Goreng Cendawan |
Nasi Goreng Daging Merah | Nasi Goreng Kampung |
Nasi Goreng Pattaya | Nasi Goreng Lada Kering |