resepi tomyam campur

Resepi Tomyam Campur Yang Mudah dan Enak

Cuaca nyaman dek kerana hujan yang sedang lebat di daerah Lembah Klang pada ketika saya menulis artikel ini, mengingatkan saya kepada satu hidangan yang paling enak dipadankan dengan cuaca sebegini iaitu Tomyam. Rasa hangat, masam dan pedas hirupan kuah tomyam menerbitkan rasa kepuasaan dan nikmat jika dinikmati waktu begini. Oleh itu, untuk artikel pada kali ini, saya akan membantu anda untuk memasak Resepi Tomyam campur yang dijamin enak dan dapat memberi kepuasan kepada sesiapa yang menjamahnya. 

Apa itu Tomyam Campur?

Tomyam adalah masakan popular Thailand yang merujuk kepada hidangan sup yang pedas dan masam. Perkataan ‘tom yam’ berasal dari gabungan dua patah perkataan Thai. Perkataan ‘tom’ merujuk kepada proses mendidih dan ‘yam’ merujuk kepada campuran. Terma ‘tomyam campur’ di Malaysia pula merujuk kepada kepelbagaian isi protein yang dimasukkan di dalam tomyam tersebut. Kebiasaannya, protein yang menjadi pilihan adalah sotong, udang dan ayam.

Masa untuk memasak: 30 minit

Jumlah Hidangan:  5 orang makan

Bahan-bahan Resepi Tomyam Campur

Bahan-Bahan Asas:

  • 3 sudu besar pes tomyam (saya gunakan pes tomyam Peace Brand)
  • 2 biji bawang Holland (dihiris nipis)
  • 2 batang serai (dititik)
  • 2 inci lengkuas (dititik)
  • 10 tangkai cili padi yang dihiris (kuantiti bergantung kepada selera masing-masing)
  • 4-5 helai daun limau purut
  • Jus dari 4 biji limau nipis
  • 1 batang lobak merah (dipotong jenis ‘batonnet’)
  • 1 biji buah tomato (dibelah empat)
  • 2 pokok daun ketumbar (dihiris)
  • Garam
  • Air secukupnya

Pilihan Protein:

  • 6 ekor udang
  • 2 ekor sotong (dipotong bulat)
  • 300g isi ayam (dipotong dadu)

Bahan Hiasan:

  • Daun ketumbar (dihiris)

Cara Memasak Resepi Tomyam Campur

  1. Masukkan air ke dalam periuk bersama-sama isi ayam
  2. Apabila ayam hampir empuk, masukkan  pes tomyam dan gaul seketika
  3. Masukkan hirisan bawang Holland, cili padi, lengkuas,  serai.
  4. Seterusnya, masukkan pula udang, sotong dan lobak merah.
  5. Kemudian masukkan jus limau nipis yang telah diperah.
  6. Masukkan garam secukup rasa dan daun limau purut
  7. Tutup api dan masukkan hirisan tomato.
  8. Hiaskan hidangan dengan hirisan daun ketumbar.
  9. Tomyam campur sedia untuk dihidang.

Tips Berguna

  1. Digalakkan menggunakan makanan laut yang segar kerana ia akan mempengaruhi rasa hidangan itu nanti.
  2. Sekiranya ingin mengurangkan bau hanyir udang dan sotong, gaulkan bahan-bahan tersebut dengan tepung gandum dan sedikit asam jawa lalu dibersihkan.
  3. Tomato dimasukkan setelah tutup api adalah kerana untuk mengelakkan tomato hancur atau menjadi terlalu lembik.
  4. Tomyam campur paling enak dimakan bersama nasi putih dan juga telur dadar sahaja. Kombinasi “foolproof” ini tidak akan mengecewakan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

sixteen − five =