Bagaimanakah cara untuk membuat resepi kuzi daging yang sedap dan enak? Resepi kuzi daging merupakan resepi yang berasal daripada negeri pantai timur terutama di negeri Kelantan. Selain daging, terdapat juga resepi kuzi ayam, kuzi tulang lembu dan kuzi kambing. Hidangan ini selalunya dimasak semasa hari perayaan di negeri-negeri pantai timur.
Pengenalan
Resepi kuzi daging merupakan menu masakan istimewa terutama bagi mereka yang tinggal di negeri Kelantan. Hidangan ini menggunakan rempah kuzi yang boleh didapati di kedai atau dijual secara online oleh penjual yang berasal daripada negeri pantai timur. Selain itu, apa yang menarik bagi menu ini adalah ia diletakkan kacang gajus dan kismis. Selain dimakan bersama dengan nasi putih, kuzi daging juga boleh dimakan bersama dengan nasi beriani atau roti. Ia juga tidak pedas dan sesuai untuk dihidangkan kepada kanak-kanak. Jadi, pada kali ini, penulis akan berkongsi dengan anda resepi kuzi daging yang enak dan boleh dimasak di rumah untuk hidangan seisi keluarga.
Bahan-Bahan Untuk Resepi Kuzi Daging
- 1 kg daging pejal (dipotong nipis atau kiub)
- 3 biji bawang holland (dihiris)
- 6 biji bawang merah (dihiris)
- 4 ulas bawang putih (dihiris)
- 2 inci halia (dihiris)
- 1 paket kecil rempah kuzi
- 1 batang kulit kayu manis
- 3 kuntum bunga lawang
- 2 biji buah pelaga
- 1 tin susu sejat
- setengah tin besar tomato puree
- kacang gajus (atau boleh juga guna kacang tanah)-kuantiti ikut selera
- kismis-kuantiti ikut selera
- garam
- gula
- 1 sudu besar minyak sapi
- minyak masak
Kisar: 3 ulas bawang putih, 1 inci halia, 1 sudu kecil rempah kuzi dan sedikit air ( untuk perap daging)
Cara-Cara Untuk Memasak Resepi Kuzi Daging
- Mula-mula perapkan dahulu daging dengan bahan yang dikisar seperti yang ditulis di atas. Ketepikan.
- Goreng bawang holland sehingga sedikit perang dan layu. Ketepikan dan tunggu hingga sedikit sejuk. Setelah itu, kisarkan menggunakan blender bersama sedikit air sehingga hancur. Ketepikan.
- Gorengkan gajus dan kismis. Goreng seketika dan jangan lama supaya tidak hangit. Ketepikan.
- Gorengkan daging yang telah diperap tadi separuh masak. Ketepikan.
- Dengan menggunakan minyak goreng yang sama, masukkan minyak sapi. Tumiskan bawang merah, bawang putih, halia, kayu manis, bunga lawang dan pelaga sehingga layu.
- Kemudian, masukkan rempah kuzi. Gaulkan dan tambah sedikit air.
- Setelah rempah sudah pecah minyak, masukkan susu sejat. Kacau rata. Pastikan api tidak terlalu besar untuk mengelakkan hangit.
- Kemudian, masukkan tomato puree dan bawang holland yang telah dikisar halus tadi. Kacau rata.
- Setelah itu, masukkan daging yang telah digoreng tadi. Masak sehingga daging empuk. Biar kuah mereneh dengan api sederhana.
- Selepas itu, perasakan dengan garam dan gula. Akhir sekali taburkan dengan kacang gajus dan kismis. Siap untuk dihidangkan.
Tips berguna:
- Pastikan bawang holland digoreng sehingga perang sebelum dikisar. Ini yang akan membuatkan resepi kuzi daging anda menjadi lebih sedap.
- Minyak sapi menambahkan aroma kelazatan resepi kuzi daging.