resepi bihun sup utara

Resepi Bihun Sup Utara Sedap Mengancam

Bagaimanakah cara untuk membuat resepi bihun sup utara yang sedap? Untuk artikel kali ini, saya akan berkongsi dengan anda tentang satu resepi yang cukup popular di negeri sebelah utara iaitu bihun sup utara. Bihun sup utara selalunya dibuat sebagai juadah minum petang. Terdapat juga majlis-majlis kecil yang memilih menu bihun sup utara sebagai menu hidangan.

Pengenalan Bihun Sup Utara yang Sedap dan Senang

Bihun sup utara selalunya mempunyai ciri bihun yang berwarna kuning. Warna kuning adalah menggunakan serbuk kunyit. Ia membuatkan hidangan bihun sup utara nampak lebih menarik. Selain itu, bihun sup utara juga dihidangkan bersama sambal merah yang mana ia berbeza dengan bihun sup lain yang sering dihidang bersama dengan sambal kicap. Namun, tidak salah jika anda mahu menghidangkan bihun sup anda dengan kedua-dua jenis sambal ini.

Anda boleh memilih sama ada hendak meletakkan ayam atau daging lembu dalam kuah sup. Jika anda memilih untuk meletakkan daging, anda boleh memasukkan daging tetel atau bahagian tulang. Cuma, untuk memasak daging, anda perlu lebih sedikit masa untuk menyediakannya berbanding ayam. Kali ini, penulis akan berkongsi dengan anda resepi bihun sup utara yang menggunakan ayam untuk kuah sup. Pembuatannya tidak rumit dan anda boleh mencubanya di rumah. Mari kita lihat cara-cara membuat resepi bihun sup utara dengan menggunakan isi ayam.

Masa Memasak: 50 minit

Jumlah Hidangan: 5-6 orang

Bahan-Bahan Untuk Resepi Bihun Sup Utara

Bahan-bahan sup

  • 1 batang serai (dititik)
  • 1 biji bawang besar saiz sederhana (dikisar halus)
  • 5-6 ulas bawang putih (ditumbuk atau dikisar halus)
  • 1 inci halia (dikisar halus)
  • 1 sup bunjut adabi
  • Rempah 3 sekawan
  • 3 sudu besar rempah sup
  • 1/2 ekor ayam
  • Garam dan serbuk perasa atau stok ayam (secukup rasa)
  • 2-3 sudu besar serbuk lada hitam
  • 1 paket bihun
  • 1 sudu besar serbuk kunyit
  • Air masak secukupnya
  • Daun sup
  • Bawang goreng
  • 4-5 limau kasturi (dibelah 2)

Bahan untuk sambal merah

  • Sedikit cili kering kisar
  • 2-3 ulas bawang putih (ditumbuk atau dikisar)
  • 1-2 biji bawang merah (ditumbuk atau dikisar)
  • 3 sudu besar cuka makan
  • Gula dan garam

Cara- Cara Menyediakan Resepi Bihun Sup Utara

  1. Tuangkan sedikit minyak ke dalam periuk. Masukkan bahan kisar seperti bawang besar, bawang putih dan halia. Masak sehingga layu dan naik bau.
  2. Masukkan 3 sekawan dan sup bunjut. Kacau sebati.
  3. Masukkan serai dan rempah sup. Gaulkan sehingga bahan mesra. Letak sedikit air agar rempah tidak hangit.
  4. Kemudian, masukkan ayam. Gaulkan sehingga sekata.
  5. Masukkan air secukupnya dan kemudian perasakan dengan garam dan stok ayam sehingga semua rasa cukup.
  6. Diikuti juga dengan serbuk lada hitam dan daun sup. Renehkan sup sehingga semua sekata.
  7. Toskan ayam dari kuah sup. Carik-carikkan isi ayam.
  8. Selepas itu, di dalam air menggelegak, masukkan sepaket bihun dan tuangkan serbuk kunyit. Kacau sehingga bihun lembut. Angkat dan bilas dengan air masak. Kemudian, toskan.
  9. Untuk sambal merah pula, tumiskan bawang merah dan bawang putih.
  10. Kemudian, masukkan cili kering kisar. Tumis sehingga pecah minyak dan masukkan cuka, garam dan gula. Kacau sehingga semua rasa sebati.
  11. Akhir sekali, bolehlah hidangkan bihun sup utara bersama sambal merah, sup, daun sup, bawang goreng dan limau kasturi.
  12. Selamat mencuba.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 × one =