Bagaimanakah cara untuk memasak resepi daging masak hitam yang lazat? Daging masak hitam merupakan hidangan daging yang popular dan digemari oleh ramai orang. Selalunya daging masak hitam ini adalah merupakan menu pilihan semasa majlis kenduri atau semasa sambutan hari raya. Hidangan ini juga boleh dinikmati bersama nasi putih, nasi impit atau ketupat.
Pengenalan
Daging masak hitam merupakan hidangan yang istimewa menggunakan daging lembu. Namun, anda juga boleh menggunakan daging kambing untuk membuat resepi ini. Walaupun kuah daging masak hitam berwarna gelap, namun ia penuh dengan rasa rempah ratus. Selain nasi putih, anda juga boleh menikmati resepi daging masak hitam ini bersama nasi beriani. Potongan daging dalam menu daging masak hitam juga selalunya bersaiz kiub atau tebal. Namun boleh juga menghiris nipis daging supaya lebih cepat empuk. Pemilihan bahagian daging dan cara pemotongannya haruslah betul supaya isi daging menjadi lembut dan tidak liat.
Pada kali ini, penulis akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk memasak resepi daging masak hitam yang lazat dan lembut. Selamat mencuba!
Bahan-Bahan Untuk Resepi Daging Masak Hitam
- Daging pejal setengah kilo (untuk lebih lembut boleh pilih bahagian batang pinang)
- 3 tangkai daun kari
- 2 biji bawang merah (dihiris)
- 2 ulas bawang putih (dihiris)
- 1 batang kayu manis
- 3 kuntum bunga lawang
- 2 biji pelaga
- 1 sudu kecil serbuk jintan putih
- 1 sudu kecil serbuk jintan manis
- 5 sudu besar Kicap pekat
- 5 sudu besar Kicap manis
- 1 sudu kecil pes asam jawa
- Garam
- Gula
Bahan untuk dikisar (blend):
- 5 biji bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 2 inci halia
- 2 batang serai
- 5 tangkai cili kering yang telah direbus (ikut kepedasan yang diinginkan)
Cara-Cara Untuk Memasak Resepi Daging Masak Hitam
- Tumiskan bahan yang dihiris, daun kari, kayu manis, bunga lawang dan pelaga hingga layu. Kemudian, masukkan bahan yang telah dikisar dan tumis sehingga naik bau.
- Masukkan serbuk jintan putih dan jintan manis, kacau rata.
- Masukkan kicap pekat, kicap manis, air asam jawa. Pastikan kuah tidak terlalu cair.
- Kemudian masukkan daging pejal. Masak sehingga daging empuk. Boleh tambahkan sedikit air jika terlalu kering. Sentiasa kacau supaya tidak hangit.
- Taburkan cili padi.
- Kemudian, perasakan dengan garam dan gula. Gaul rata sehingga sekata. Tutup api, Siap untuk dihidangkan.
Tips Berguna:
- Boleh taburkan bawang goreng di atas hidangan untuk rasa lebih sedap.
- Boleh gunakan gula merah untuk menggantikan gula putih.
- Jika mahu lebih manis boleh tambahkan sedikit kismis hitam dalam bahan kisar.
- Boleh tambahkan lagi kicap mengikut selera.