resepi ayam kerutuk

Resepi Ayam Kerutuk Sedap Dan Enak

Bagaimanakah cara untu membuat resepi ayam masak kerutuk yang sedap? Ayam masak kerutuk merupakan hidangan berempah yang digemari ramai. Hidangan ini juga sering disediakan dalam majlis-majlis keraian terutama majlis kenduri kahwin. Selain itu, resepi kerutuk juga amat popular di negeri-negeri pantai timur. Selain ayam, terdapat juga hidangan kerutuk lain seperti itik kerutuk, daging kerutuk dan kambing kerutuk.

Pengenalan

Resepi ayam kerutuk merupakan menu hidangan istimewa yang boleh dinikmati bersama nasi putih. Hidangan ini sedikit pedas namun dilengkapi dengan rasa manis gula melaka atau nissan (“nissang”). Selain itu, sedapnya kerutuk juga ditentukan oleh kerisik kelapa yang meresapi dalam kuah. Kerisik yang wangi dan segar membuatkan hidangan kerutuk menjadi lebih lazat.

Pada kali ini, penulis akan berkongsi dengan anda resepi masakan ayam kerutuk. Bahan-bahan membuatnya mudah dan pastikan anda mempunyai rempah kerutuk. Mari kita mencubanya di rumah.

Bahan-Bahan Untuk Resepi Ayam Kerutuk

  • Ayam setengah ekor
  • 2 paket kecil rempah kerutuk (boleh gunakan brand adabi)
  • 5 ulas bawang merah *
  • 3 ulas bawang putih *
  • 1 biji bawang besar dihiris
  • Halia 2 inci *
  • 2 inci lengkuas dihiris
  • Rempah 4 sekawan (1 kayu manis, 2 bunga lawang, 2 pelaga, 2 bunga cengkih)
  • 2 batang serai diketuk
  • 3 sudu cili kering kisar
  • Santan (1 kotak kecil)
  • 3 sudu besar kerisik
  • Gula melaka setengah keping (jika nak lebih manis boleh tambah ikut selera)
  • 1 sudu Pes asam jawa
  • Sehelai daun pandan (disimpulkan)
  • 3 biji cili padi
  • Garam
  • Gula
  • Minyak untuk memasak

Kisar semua bahan bertanda *

Cara-Cara Memasak Resepi Ayam Kerutuk

  1. Panaskan minyak, tumiskan rempah 4 sekawan dan daun pandan seketika. Kemudian masukkan bahan-bahan yang dikisar, serai, bawang besar, lengkuas dan cili giling. Tumis sehingga naik bau.
  2. Setelah itu masukkan rempah kerutuk yang telah dibancuh dengan sedikit air (hingga jadi pes). Tumiskan sehingga pecah minyak.
  3. Selepas itu, masukkan ayam dan kacau rata. Kemudian masukkan sedikit air, pes asam jawa dan gula melaka.
  4. Setelah itu masukkan kentang dan kacau rata. Tutup periuk dan masak sehingga ayam masak dan kentang menjadi empuk. Tambahkan sedikit air jika kuah terlalu kering, namun pastikan kuah kerutuk pekat barulah ia menjadi.
  5. Setelah ayam masak dan kentang empuk, masukkan kerisik dan gaul rata sehingga sebati.
  6. Selepas itu, masukkan santan dan cili padi. Kemudian perasakan dengan garam dan gula (jika perlu). Biarkan didih seketika dan kemudian tutup api. Siap untuk dihidangkan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four − two =