Resepi Nasi Kerabu

Resepi Nasi Kerabu Kelantan Ori Dan Sedap

Nasi kerabu adalah makanan wajib dan utama di Kelantan dan ia semakin popular di negeri yang lain juga. Nasi kerabu mempunyai nasi yang berwarna biru yang diekstrak dari bunga telang yang berwarna biru. Cara penyediaan nasi kerabu ini amat mudah cuma yang nampak agak rumit adalah nasi kerabu ini mempunyai gabungan untuk pelengkap nasi kerabu yang banyak. Antara pelengkap nasi kerabu adalah nasi kerabu yang berwarna biru, kuah tumis, kelapa ikan, ulam yang dihiris, air lada, budu masak, solok lada, bawang putih jeruk, keropok keping, telur masin dan pilihan lauk seperti ikan goreng celup tepung, daging bakar ataupun ayam bakar.

Tetapi, tidak semua wajib untuk disediakan dan terpulang kepada anda mahukan nasi kerabu digabungkan dengan bahan apa sekalipun. Pada pendapat saya, cukup sekadar nasi kerabu, sambal tumis, air lada, budu masak, ulam, kelapa ikan dan lauk seperti daging bakar, ayam bakar ataupun ikan goreng celup tepung.  Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menghasilkan nasi kerabu yang sedap dan mudah.

Pengenalan

Nasi kerabu ini sangat popular jika anda berkunjung di Kelantan malahan amat mudah didapati di gerai menjual sarapan pagi di negeri-negeri lain juga. Perbezaannya adalah jika di negeri lain terdapat beberapa gerai yang menjual nasi kerabu dengan bahan yang asas sahaja. Itu juga sudah cukup memikat selera kita. Oleh itu, anda juga boleh mencuba untuk menghasilkan nasi kerabu anda sendiri di rumah dengan berpandukan resepi yang dikongsikan di bawah.

Masa Memasak: 1 jam 30 minit

Jumlah Hidangan: 5-6 orang

Bahan-Bahan Untuk Resepi Nasi Kerabu

Bahan-bahan nasi kerabu

  • 8-10 tangkai bunga telang
  • 3 cawan beras
  • 3 1/2 cawan perahan air bunga telang
  • 6-7 helai daun limau purut
  • 2 batang serai (dititik)
  • Sedikit garam

Bahan-bahan sambal tumis

  • 1 cawan santan kotak
  • 5 labu bawang besar
  • 3-4 ulas bawang putih
  • 2 senduk cili kering kisar
  • 1 inci halia
  • 1 batang serai (dititik)
  • 1 keping asam keping
  • Gula secukup rasa
  • Garam secukup rasa

Bahan-bahan kelapa ikan

  • 1 ekor ikan kembung atau selar atau selayang
  • Asam keping
  • Air untuk merebus ikan
  • 1/2 biji kelapa parut putih
  • 2 labu bawang besar
  • 2 batang serai
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa

Bahan-bahan solok lada

  • 5-6 tangkai cili hijau besar (kebiasaannya mudah didapati di Kelantan)
  • 1 ekor ikan kembung (telah direbus bersama ikan untuk kelapa ikan)
  • 4 sudu besar kelapa yang telah disangai (dari kelapa ikan tadi)
  • 2 labu bawang besar
  • 2 ulas bawang putih
  • 1/2 inci halia
  • 1 sudu kecil lada hitam
  • 1 cawan santan kotak
  • Sedikit air asam
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa

Bahan-bahan air lada

  • 10 tangkai cili padi (campur hijau dan merah)
  • 4 sudu besar cuka
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 sudu besar gula
  • 1 sudu kecil garam

Bahan-bahan ulaman

  • 1 batang timun (dihiris halus memanjang)
  • 1 batang bunga kantan (dihiris halus)
  • Sedikit kobis (dihiris halus)
  • Daun selom (dihiris halus)
  • Kacang panjang (dihiris halus)
  • Taugeh (dibersihkan dan ditoskan)

Bahan-bahan daging bakar

  • 1 kg daging
  • 1 sudu kecil jintan manis
  • 2 sudu kecil jintan putih
  • 2 sudu besar cili kering kisar
  • 1 labu bawang besar
  • 2 inci halia
  • 2 sudu besar serbuk kunyit
  • 3 batang serai
  • Gula secukup rasa
  • Garam secukup rasa

Bahan-bahan lain

  • 3 biji telur masin (dicuci bersih, direbus sehingga masak dan dipotong dua)
  • Keropok keping (digoreng)
  • Budu (diperah asam limau & hirisan lada kecil)

Cara- Cara Memasak Resepi Nasi Kerabu

Cara-cara memasak nasi kerabu

  1. Mula-mula, basuh beras dengan bersih dan toskan seketika.
  2. Sediakan air bunga telang dengan ramaikan bunga telang dalam bekas yang berisi air sehingga warna biru dari bunga tersebut terhasil.
  3. Kemudian, masukkan beras bersama air perahan bunga telang, daun limau purut, serai dan garam ke dalam periuk nasi. Gaulkan sebati dan biarkan seketika agar warna menyerap pada beras.
  4. Selepas itu, tanak nasi seperti biasa.

Cara- cara memasak sambal tumis

  1. Mula-mula, kisarkan bawang besar, bawang putih dan halia.
  2. Di dalam kuali yang berisi minyak panas, tuangkan bahan kisar sebentar tadi dan cili kering kisar. Tumiskan seketika sehingga naik bau.
  3. Letakkan serai dan tuangkan sedikit air jika kuah sudah nampak sedikit garing.
  4. Kemudian, masukkan santan dan kacau sebati. Biarkan masak dan mereneh untuk seketika sambil kuah dikacau.
  5. Masukkan garam, gula dan asam keping. Ubahsuai megikut citarasa masing-masing.
  6. Masak seketika sehingga kuah agak pekat. Jangan terlalu cair.

Cara- cara memasak sambal tumis

  1. Mula-mula, siang ikan sehingga bersih dan masukkan ke dalam periuk. Letakkan asam keping, sedikit garam dan air masak. Rebuskan sekali ikan untuk disumbatkan ke dalam solok lada sebentar lagi.
  2. Rebuskan seketika sehingga ikan masak.
  3. Apabila ikan siap direbus, asingkan isi ikan daripada tulangnya.
  4. Sementara itu, tumbuk lumat bawang besar dan serai dengan menggunakan lesung batu.
  5. Di dalam kuali, masukkan kelapa parut dan sangai kelapa tanpai minyak. Sentiasa kacau supaya kelapa tidak hangit. Masukkan bawang besar dan serai yang telah ditumbuk tadi bersama garam dan gula. Gaulkan sebati sehingga kelapa masak.

Cara- cara memasak sambal tumis

  1. Mula-mula, potong selari lada besar hijau dan buangkan biji.
  2. Tumbukkan kelapa sangai, isi ikan rebus, bawang besar, bawang putih, halia, garam, gula dan lada hitam. Kemudian, masukkan santan dan air asam.
  3. Gaulkan sehingga sebati.
  4. Masukkan kelapa yang telah digaul bersama yang lain ke dalam belahan lada besar. Susunkan ke dalam periuk dan kukuskan sehingga masak.

Cara- cara menyediakan air lada

  1. Masukkan kesemua bahan ke dalam pengisara dan kisar kasar bahan tadi.
  2. Ubahsuai rasa mengikut citara masing-masing

Cara- cara menyediakan ulaman

  1. Bersihkan semua ulam, toskan dan keringkan. Gaulkan sekali semua ulaman.

Cara- cara menyediakan daging bakar

  1. Bersihkan daging.
  2. Kisarkan semua bahan sehingga lumat dan lumurkan pada daging.
  3. Perapkan daging untuk beberapa jam.
  4. Bakar daging atas arang atau atas kuali pemanggang.
  5. Apabila siap dibakar, hiris melintang urat.

Selamat mencuba!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two × 1 =