Resepi Solok Lada

Resepi Solok Lada Senang Dan Sedap

Bagaimanakah cara untuk membuat solok lada yang mudah dan sedap? Solok lada ialah makanan tradisional yang dihasilkan menggunakan lada hijau muda dan disumbat dengan campuran isi ikan, kelapa parut dan beberapa bahan-bahan lain. Solok lada ini sangat terkenal di Kelantan dan Terengganu. Kebiasaanya, solok lada dimakan bersama nasi kerabu ataupun nasi putih biasa. Selain dijadikan lauk untuk dimakan bersama nasi, solok lada juga boleh dimakan atau diratah begitu sahaja. Makanan tradisional ini turut mempunyai ramai penggemarnya kerana solok lada ini mempunyai rasa manis, sedikit pedas, sangat sedap dimakan dan sangat memikat selera pemakannya.

Pengenalan

Keenakkanya solok lada dapat membuatkan seseorang makan berkali-kali. Selalunya kita akan dapati solok lada ini dijual di kedai-kedai makanan pantai timur. Tidaklah lengkap hidangan nasi kerabu jika tanpa solok lada. Ini kerana solok lada ini meningkatkan lagi keenakkan nasi kerabu tersebut.

Kali ini penulis ingin mencadangkan kepada anda untuk cuba membuat resepi solok lada sendiri. Bahan-bahannya pun mudah dan tidak susah untuk membuatnya. Anda juga boleh hidangkan untuk keluarga anda. Pasti mereka akan menyukainya, tambahan pula bersama nasi kerabu. Pasti lagi lebih seronok dan anda pun berpuas hati. Mari kita cuba resepi kali ini. Semoga berjaya!

Masa Memasak: 40 minit

Jumlah Hidangan: 7-8 orang

Bahan-Bahan Untuk Resepi Solok Lada

  • 1 kg cili hijau solok
  • 1 kg ikan (sardin atau selayang)
  • ½ kg kelapa putih muda 
  • 5 biji bawang merah 
  • 2 ulas bawang putih 
  • 1 sudu kecil lada hitam
  • Gula
  • Garam
  • ½ cawan santan segar pekat

Cara-Cara Untuk Membuat Resepi Solok Lada

  1. Lada hijau muda dibelah tengah dan keluarkan biji lada. Buatkan sehingga kesemua lada hijau habis.
  2. Kemudian basuh lada hijau yang siap dibelah dan toskan airnya. Ketepikan seketika
  3. Siang ikan dan basuh bersih ikan. Pastikan lumur dengan perahan limau nipis ataupun asam jawa untuk menghilangkan bau hanyir. Kemudian bilas ikan dengan air bersih dan toskan airnya.
  4. Masukkan ikan ke dalam periuk yang berisi air dan rebus dalam anggaran 15-20 minit. Tutup api dan buangkan airnya. Biarkan sejuk seketika.
  5. Asingkan isi dan tulang ikan dan letakkan didalam bekas yang berlainan. Kisarkan hancur isi ikan dan ketepikan.
  6. Kisar halus bawang merah, bawang putih dan lada hitam. Ketepikan
  7. Masukkan ikan yang dikisar, bahan kisar halus dan kelapa parut didalam bekas. Gaul sehingga sekata.
  8. Kemudian masukkan gula dan garam. Gaul lagi agar rasa sekata.
  9. Masukkan adunan inti ini kedalam lada hijau yang telah dibelah dan dibersihkan. Letakkan didalam loyang atau periuk. Buat sehingga habis lada hijau dan inti yang dibuat tadi.
  10. Kemudian renjiskan santan di atas lada solok yang siap dibuat. Pastikan semua lada solok kena dengan rejisan santan.
  11. Kukuskan lada solok selama 15-20 minit atau sehingga ia masak.
  12. Angkat dan sedia dihidangkan. 
  13. Jangan lupa hidangkan bersama nasi putih ataupun nasi kerabu.

Selamat mencuba!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 × 3 =