Resepi Nasi Daging

Resepi Nasi Daging Utara Enak Bersama Air Asam

Bagaimanakah cara untuk memasak nasi daging utara? Nasi daging utara merupakan sejenis hidangan nasi yang popular di utara dan sering dijadikan sebagai menu pilihan wajib ketika musim perayaan terutamanya pada Hari Raya Korban. Namun, nasi daging utara ini turut mendapat sambutan di negeri-negeri lain pada masa kini. Ramai yang berkongsi kesedapan hidangan nasi daging utara ini di media sosial. Nasi daging utara menjadi tidak lengkap jika tidak dihidangkan bersama air asam. Bak kata orang Kedah sedapnya tak tau nak habaq!

Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menghasilkan nasi daging utara yang sedap bersama air asamnya.

Pengenalan

Pembuatan nasi daging utara secara asalnya memerlukan kita untuk merebus daging selama 2-3 jam untuk mendapatkan hasil daging yang empuk yang mana amat memakan masa yang lama. Oleh itu, penulis mencadangkan untuk anda menggunakan pressure cooker bagi menjimatkan masa untuk melembutkan daging atau menggunakan jenis daging bahagian batang pinang untuk mendapatkan tekstur daging yang lembut. Kali ini penulis akan kongsikan kepada anda resepi nasi daging utara yang mudah untuk dihasilkan. Mari kita cuba resepi nasi daging utara yang sedap bersama dengan air asam.

Masa Memasak: 1 jam 30 minit

Jumlah Hidangan: 5-6 orang

Bahan-Bahan Untuk Resepi Nasi Daging Utara

Bahan-bahan nasi daging utara

  • 1/2 kg daging yang dipotong dadu sederhana kecil (direbus empuk)
  • 5  cawan beras
  • 4 1/2 cawan air rebusan daging
  • 2 sudu besar rempah kurma
  • Rempah ratus 3 sekawan (kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih)
  • 1 sudu besar marjerin atau mentega
  • 2 sudu besar minyak masak
  • 1 ulas bawang besar (dimayang)
  • 1 ulas bawang putih (dimayang)
  • 2 sudu besar stok ayam atau 1/2 kiub pati ayam
  • 3/4 cawan susu cair
  • 2 sudu besar sos tomato
  • Daun pandan
  • Daun sup
  • Bawang goreng

Bahan-bahan air asam

  • 1 biji tomato (dipotong dadu)
  • 1 ulas bawang besar (dipotong dadu)
  • 3 batang cili padi (dihiris)
  • Air asam jawa
  • 1 sudu besar kerisik
  • 3 batang cili api merah*
  • 4 batang cili padi*
  • 2 inci belacan bakar*
  • Garam secukup rasa*
  • 1 sudu besar gula*

Cara- Cara Memasak Resepi Nasi Daging Utara

  1. Mula-mula, basuh beras dengan bersih dan toskan seketika.
  2. Dalam masa yang sama, potong daging secara dadu dengan saiz yang sederhana kecil dan cuci bersih. Masukkan daging ke dalam periuk dan rebus sehingga empuk lebih kurang 2 jam. Jangan dibuang air rebusan daging kerana kita akan gunakan untuk memasak nasi sebentar lagi.
  3. Selepas itu, di dalam periuk, masukkan minyak masak dan marjerin. Tumiskan bersama bawang besar, bawang putih, rempah 3 sekawan, rempah kurma dan daun pandan. Tumis sehingga naik bau.
  4. Kemudian, masukkan beras yang telah dibasuh bersih dan ditoskan ke dalam periuk yang berisi bahan tumisan. Tuangkan air rebusan daging, garam, stok ayam dan sos tomato. Gaulkan beras bersama bahan-bahan tadi sehingga sebati. Ini supaya beras masak dengan sekata dan tidak terlalu lembik.
  5. Selepas itu, masukkan beras yang telah digaul bersama bahan-bahan tadi ke dalam periuk nasi bersama daging yang telah direbus.
  6. Biarkan nasi masak di dalam periuk nasi dan gemburkan nasi apabila hampir masak. Sementara itu, anda boleh sediakan air asam.

Cara- cara menyediakan air asam

  1. Mula-mula, kisar kasar gula, garam, belacan bakar, cili padi, cili api merah dan air asam jawa.
  2. Tuangkan di dalam mangkuk dan masukkan bahan hirisan seperti tomato, bawang besar dan cili padi.
  3. Kemudian, ramaskan sehingga rata kerisik ke dalam air asam tadi.
  4. Rasa sedikit dan baiki mengikut citarasa masing-masing.
  5. Bolehlah dihidangkan bersama nasi daging utara.
  6. Selamat mencuba.

Tips Berguna:

  • Nasi daging utara juga boleh dihidangkan bersama dengan kuah dalca.
  • Boleh gunakan minyak sapi untuk menggantikan marjerin.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

7 + ten =