Bagaimanakah cara untuk membuat resepi pengat pisang yang lazat? Pengat pisang merupakan sejenis hidangan yang boleh dijadikan sebagai pencuci mulut atau pemanis mulut. Ia juga sesuai dihidangkan semasa minum petang. Selain dinamakan pengat pisang, ada juga yang menggelarnya sebagai serawa pisang.
Pengenalan
Pengat pisang merupakan sejenis masakan yang manis dan berkuah. Gabungan rasa pisang dan kuah santan yang berlemak manis menjadikan menu istimewa ini digemari oleh ramai orang. Selalunya, jenis pisang yang digunakan untuk membuat pengat pisang adalah pisang berangan. Pengat pisang juga boleh dicampurkan dengan sagu atau jagung. Ia terpulang mengikut citarasa sendiri. Selain itu, hidangan ini juga boleh dihidangkan panas atau sejuk mengikut selera anda.
Cara memasak pengat pisang amat mudah dan bahan-bahannya juga tidak banyak. Pada kali ini, penulis akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk membuat resepi pengat pisang yang sedap dan berlemak. Anda boleh mencubanya di rumah.
Bahan-Bahan untuk Resepi Pengat Pisang
- 7-8 biji pisang berangan atau pisang raja
- Dua kotak santan atau 2 cawan santan segar
- 2 sudu besar biji sagu (jika suka) rendam dan toskan
- 2 sudu besar gula pasir (boleh tambah jika mahu lebih manis)
- 1 ketul gula melaka dihiris kecil
- 1 sudu kecil garam
- 3 helai daun pandan (disimpulkan)
- Air secukupnya
Cara-Cara Untuk Membuat Resepi Pengat Pisang
- Masukkan air, gula melaka, gula pasir dan daun pandan ke dalam periuk. Didihkan ia sehingga gula melarut.
- Kemudian, masukkan sagu dan santan. Kecilkan api dan kacau perlahan-lahan sehingga kuah mendidih. Pastikan sagu betul-betul masak hingga warna putihnya hilang.
- Selepas itu, masukkan pisang dan garam. Masak sehingga pisang menjadi lembut. Kacau perlahan supaya santan tidak pecah. Tutup api dan siap untuk dihidangkan.
Tips Berguna:
- Boleh tambahkan 1 tin jagung krim jika suka.
- Boleh dihidang panas atau sejuk.