Resepi Agar Koktail

Resepi Agar Koktail yang Sedap dan Mudah

Bagaimanakah cara untuk menghasilkan agar koktail yang sedap dan mudah untuk disediakan? Agar koktail merupakan hidangan pencuci mulut yang menggunakan buah koktail dan rasa berkrim susu. Agar koktail amat mudah untuk dihasilkan kerana menggunakan bahan yang sedikit dan mudah untuk didapati.

Selain itu, hidangan ini juga menjadi kegemaran kanak-kanak kerana warna buah koktail yang berwarna-warni menarik perhatian mereka dan turut enak dimakan ketika sejuk. Menu ini sesuai dijadikan salah satu hidangan ketika majlis parti hari jadi dan majlis keramaian. Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menyediakan agar koktail yang sedap dan mudah.

Pengenalan

Agar koktail yang sedap dimakan ketika sejuk ini menggunakan buah koktail di dalam tin yang mudah untuk didapati di pasaraya. Buah koktail di dalam tin dapat menghasilkan pelbagai jenis hidangan. Antaranya adalah puding koktail berkuah, air koktail, puding triffle dan termasuklah agar-agar koktail. Ia tidak mengambil masa yang lama untuk disediakan.

Jadi, tidak hairanlah jika ia sering menjadi menu juadah pencuci mulut di parti hari jadi mahupun di majlis keramaian. Ada juga yang memakan agar koktail bersama kuah susu cair seakan puding koktail berkuah. Cara hidangan adalah terpulang kepada citarasa masing-masing. Makan begitu sahaja juga amat enak dengan tahap kemanisan mengikut selera masing-masing. Mari kita cuba resepi agar koktail seperti di bawah.

Masa Memasak: 30 minit

Jumlah Hidangan: 6-7 orang

Bahan-Bahan untuk Resepi Agar Koktail

  • 1 tin buah koktail
  • 900 mL air masak
  • 20 gram agar-agar tali
  • 1 cawan gula pasir (bergantung kepada rasa manis masing-masing)
  • 1 tin susu cair
  • Secubit garam (untuk rasa yang lebih berlemak)

Cara- Cara memasak Resepi Agar Koktail

  1. Di dalam periuk yang dalam, masukkan air ke dalam periuk tersebut. Hidupkan api yang perlahan.
  2. Basuh terlebih dahulu agar-agar dengan air yang bersih. Toskan air. Kemudian, masukkan agar-agar yang telah dibasuh ke dalam periuk yang berisi air dan rebuskan seketika. Kacau secara perlahan.
  3. Rebuskan agar-agar sehingga larut.
  4. Kemudian, masukkan gula. Kacau sentiasa sehingga gula larut. 
  5. Selepas itu, masukkan buah koktail bersama airnya ke dalam periuk. Kacau seketika.
  6. Masukkan pula susu cair ke dalam periuk.
  7. Masak seketika selama 2 sehingga 3 minit.
  8. Akhir sekali, tuangkan campuran agar koktail ke dalam bekas acuan agar-agar yang bersesuaian.
  9. Sejukkan seketika di luar dalam suhu bilik sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk untuk disejukkan.
  10. Selamat mencuba.

Tips berguna:

  • Rebus agar-agar dengan api yang perlahan bagi mengelakkan daripada terlalu menggelegak dan menyebabkan apabila susu cair dituang ke dalam agar-agar, ia akan menjadi berketul.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two × five =