Bagaimanakah cara untuk menghasilkan resepi roti jala dan kari yang ringkas untuk disediakan? Roti jala sangat sinonim dalam majlis rumah terbuka atau pelbagai jenis majlis. Malah, ia juga merupakan menu minum petang yang mudah untuk dimasak.
Walau bagaimanapun, ia mengambil masa untuk disediakan kerana roti jala perlu dikirai satu demi satu. Roti jala sangat sedap dan sesuai dimakan bersama kari ayam. Kari ayam untuk roti jala hampir sama dengan kari ayam yang biasa kita makan cuma ayam perlu dipotong kecil dan ada penambahan sayur lobak merah.
Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menyediakan roti jala dan kari ayam yang ringkas untuk minum petang.
Pengenalan
Roti jala dan kari ayam sudah menjadi menu wajib apabila hadir ke rumah terbuka mahupun menu minum petang. Roti jala memerlukan alat pengirai dan juga kuali rata untuk mengirai bancuhan tepung.
Roti jala yang enak adalah apabila ia lembut dan gebu dicicah bersama kuah kari yang sedikit pekat. Penyediaan roti jala bersama kari ayam sangat mudah dan ringkas. Mari kita cuba resepi roti jala dan kari ayam seperti di bawah.
Masa Memasak: 60 minit
Jumlah Hidangan: 7 orang
Bahan-bahan untuk Resepi Roti Jala
Bahan untuk Roti Jala
- 4 cawan tepung gandum
- 4 cawan air
- 1 cawan susu cair/santan
- 2 sudu besar marjerin yang telah dicairkan/minyak masak
- 2 biji telur
- 1/2 sudu kecil garam
- Sedikit pewarna kuning/serbuk kunyit
Bahan untuk Kari Ayam
- 1 ekor ayam (dipotong kecil)
- 3 biji bawang besar
- 5 ulas bawang putih
- 2 inci halia
- 3 tangkai daun kari
- Rempah 3 sekawan
- 5 sudu besar rempah kari ayam (dibancuh dengan sedikit air sehingga menjadi pes)
- 2 sudu besar serbuk cili/cili kering kisar
- 2 keping asam keping/sedikit asam jawa
- 1 kotak kecil santan kotak
- Gula dan garam secukup rasa
- 4 biji kentang (dipotong dadu)
- 1 batang lobak merah (dipotong dadu)
Cara Penyediaan Resepi Roti Jala dan Kari Ayam
Cara- cara memasak roti jala
- Masukkan kesemua bahan di dalam pengisar.
- Kisarkan semua sehingga halus sekata.
- Kalau terlalu pekat boleh tambahkan air, manakala kalau terlalu cair boleh tambahkan tepung gandum.
- Panaskan kuali rata, sapukan sedikit minyak sekata ke seluruh kuali.
- Kiraikan roti jala di atas kuali menggunakan acuan roti jala.
- Kemudian, apabila sudah masak bolehlah dilipat seperti popia goreng.
Cara-cara memasak ayam kari:
- Kisarkan bawang besar, bawang putih dan halia sehingga halus.
- Panaskan minyak di dalam kuali, tumiskan 3 sekawan dan daun kari sehingga naik aroma.
- Masukkan bahan kisar dan tumis sehingga kekuningan dan naik bau.
- Masukkan serbuk cili atau cili kering diikuti dengan bancuhan rempah kari. Masak sehingga pecah minyak dan rempah masak.
- Masukkan ayam dan kentang. Gaulkan agar rempah diserap ke dalam ayam dan ayam separuh masak.
- Masukkan santan dan sedikit air. Biarkan sehingga mendidih. Masukkan lobak merah diikuti dengan asam keping atau asam jawa, garam dan gula. Perasakan mengikut citarasa masing-masing. Biarkan sehingga kuah rasa sebati dan ayam masak.
- Maka, siaplah ayam kari kita. Bolehlah dihidangkan bersama roti jala. Selamat mencuba.
Tips berguna:
- Masukkan sedikit air semasa memasak rempah kari bagi mengelakkan rempah hangit dan terasa pahit.