Resepi burger malaysia 1

Resepi Burger Malaysia yang Gebu dan Sedap

Bagaimanakah cara untuk menghasilkan burger Malaysia yang gebu dan sedap untuk disediakan? Burger Malaysia juga dikenali sebagai mini burger ataupun pau sambal. Adunan doh burger Malaysia sama seperti adunan doh donat, cakoi dan juga pau kacang.

Oleh itu, ia dapat menjimatkan masa kerana hanya membuat satu adunan doh tapi dapat menghasilkan pelbagai jenis kuih. Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menyediakan burger Malaysia yang gebu dan sedap.

Pengenalan

Burger Malaysia yang sedap adalah burger Malaysia yang gebu dan tidak keras walaupun sudah sejuk. Tapi, kebiasaannya burger Malaysia enak dimakan ketika panas. Burger Malaysia mudah ditemui di gerai yang menjual sarapan pagi. Ia sesuai dimakan semasa sarapan pagi mahupun minum petang.

Burger Malaysia berbentuk seperti pau tetapi digoreng dahulu kemudian dipotong di bahagian tengah dan diisi dengan sambal nasi lemak beserta sayur timun yang telah dihiris nipis. Mari kita cuba resepi burger Malaysia seperti di bawah.

Masa Memasak: 40 minit

Jumlah Hidangan: 6-7 orang

Bahan-Bahan untuk Resepi Burger Malaysia

Bahan-bahan masakan Sambal Ikan Bilis

  • 2 genggam ikan bilis
  • Sedikit belacan atau ikan bilis kisar
  • 1 biji bawang besar
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 biji asam keping atau semangkuk air asam jawa
  • 3 senduk cili kering kisar
  • 2 sudu besar gula pasir
  • Secubit garam
  • 1 sudu kecil serbuk perasa (jika perlu)
  • Minyak masak secukupnya

Bahan-bahan masakan Burger Malaysia

  • 1/2 kg tepung gandum
  • 1 sudu kecil garam
  • Satu sudu besar gula pasir
  • 1 sudu kecil serbuk penaik
  • 1/2 sudu besar yis
  • 3 sudu besar marjerin
  • Air suhu bilik
  • 1 batang timun (dihiris)
  • Minyak secukupnya

Cara-Cara menyediakan Resepi Burger Malaysia

Cara- cara memasak sambal ikan bilis

  1. Kisar terlebih dahulu bawang besar, bawang putih dan belacan ataupun ikan bilis.
  2. Goreng ikan bilis terlebih dahulu sehingga garing.
  3. Panaskan kuali dan tuangkan sedikit minyak.
  4. Kemudian, masukkan bahan kisar. Tumis seketika bersama dengan cili kering kisar. Masukkan gula pasir. 
  5. Masakkan seketika dengan api perlahan. Masak sehingga cili kering masak dan pecah minyak. 
  6. Masukkan air asam jawa ataupun asam keping. 
  7. Masukkan bahan perasa dan garam.
  8. Kemudian, masukkan pula ikan bilis yang telah digoreng. 
  9. Masakkan seketika sehingga sambal pecah minyak, sambal masak dan rasa seimbang.

Cara-cara memasak burger Malaysia

  1. Di dalam mangkuk, masukkan tepung gandum, garam, gula pasir, serbuk penaik, yis dan marjerin. Gaul serata semua bahan.
  2. Masukkan air yang bersuhu bilik sedikit demi sedikit sehingga doh sedikit lembik dan melekat pada jari.
  3. Bentukkan doh mengikut saiz burger Malaysia yang diingini. Jangan terlalu besar kerana doh akan mengembang. Bentukkan doh dan susun di atas tudung periuk. 
  4. Panaskan minyak di dalam kuali. Apabila doh sudah kembang dan minyak sudah panas, boleh gorengkan doh burger Malaysia sehingga kuning keemasan dan masak sekata.
  5. Angkat dan toskan minyak. Biarkan sejuk seketika dan kemudian boleh potong di tengah burger Malaysia. 
  6. Sapukan sambal ikan bilis pada burger Malaysia dan letakkan timun yang telah dihiris.
  7. Selamat mencuba. Bolehlah dihidangkan bersama kopi panas. 

Tips berguna:

  • Sapukan minyak pada tangan semasa membentuk doh burger Malaysia agar doh tidak melekat pada tangan dan memudahkan proses membentuk doh.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

ten + 18 =