Bagaimakah cara untuk membuat resepi pulut mangga? Kali ini penulis ingin berkongsi dengan anda resepi pencuci mulut yang sangat menyelerakan dan memikat rasa. Hidangan pulut mangga ini diinspirasikan oleh negara jiran Malaysia iaitu Thailand. Ia merupakan hidangan yang tidak kurang popular di sana. Pulut mangga disediakan lengkap dengan pulut manis, santan pekat berlemak masin dan buah mangga yang manis. Kombinasi tiga elemen ini memberikan kesedapan dan tarikan pembuka selera apabila dimakan.
Pengenalan
Pulut mangga ini sangat sesuai dijadikan menu pemanis mulut setelah selesai menjamah makanan berat. Selain itu, pulut mangga juga ini boleh didapati di kedai makanan Thailand ataupun di negeri pantai timur yang terutama yang berdekatan dengan sempadan Thailand. Anda turut dapat membeli juadah ini semasa bulan puasa di bazar. Selain membeli, anda juga sebenarnya boleh membuat sendiri hidangan ini. Tambahan pula menu ini tidak rumit dan senang untuk disediakan. Mari kita belajar resepi pulut mangga ini. Semoga anda berjaya.
Masa Penyediaan: 20 minit
Masa Memasak: 30 minit
Jumlah Hidangan: 5 orang
Bahan-Bahan Untuk Resepi Pulut Mangga
Bahan-bahan untuk pulut mangga:
- 400 gram beras pulut (rendam 1 malam)
- 1 cawan santan pekat
- 1 cawan santan cair
- 2-3 sudu besar gula
- sedikit garam
- beberapa helai daun pandan, atau daun pisang
- 2 sudu besar bijan (bakar tanpa minyak)
- 3 biji mangga yang sudah masak
Bahan untuk kuah santan:
- 1 cawan santan pekat
- 1 sudu kecil tepung beras atau tepung jagung
- Setengah cawan air
- 1 helai daun pandan, carik dan simpul
- garam secukup rasa
Cara Menyediakan Resepi Pulut Mangga
Cara-cara untuk memasak pulut:
- Masukkan air dalam pengukus dan pastikan air penuh. Kemudian panaskan pengukus.
- Sementara menunggu pengukus panas, susunkan daun pisang rapat rapat dalam dulang pegukus.
- Basuh bersih pulut yang telah direndam semalaman dan toskan airnya. Pastikan air betul betul tiada sebelum masukkan pulut kedalam dulang pengukus.
- Masukkan pulut didalam dulang pengukus dan kukuskan selama 20 minit ataupun sehingga pulut menjadi lembut..
- Angkat dulang pengukus dan keluarkan pulut. Letakkan pulut yang siap dikukus didalam bekas besar dan ketepikan seketika.
- Tuangkan santan pekat, santan cair, gula dan garam didalam bekas yang lain. Kacau sehingga sebati.
- Kemudian tuang adunan santan tadi kedalam bekas yang berisi pulut kukus yang masih panas.
- Gaulkan atau balik balikkan pulut agar santan meresap dan sebati dengan pulut kukus. Buat sehingga santan betul betul meresap kedalam pulut anda. Cucuk cucuk kan atau gemburkan pulut anda dengan garfu.
- Siap! Dah boleh dihidangkan bersama buah mangga dan kuah santan.
Cara-cara untuk membuat kuah santan:
- Panaskan periuk dan masukkan santan pekat kedalam periuk. Pastikan sentiasa kacau dan gunakan api yang sederhana.
- Masukkan pula bancuhan tepung, garam dan daun pandan ke dalam periuk yang berisi santan tadi. Kacau lagi dan jangan berhenti supaya kuah tidak menjadi ketul ketul.
- Sekiranya kuah kelihatan cair, masukkan bancuhan tepung lagi supaya kuah anda menjadi pekat.
- Pastikan kuah anda rasanya masin supaya seimbang bila dimakan bersama pulut dan buah mangga.
- Tutup api dan angkat. Biarkan ia sejuk.
- Siap untuk dihidangkan.
Selamat mencuba!