Resepi Kuih Talam Gula Merah

Resepi Talam Gula Merah Yang Lembut Dan Sedap

Bagaimanakah cara untuk membuat kuih talam gula merah? Kuih talam mempunyai pelbagai jenis variasi rasa, perisa dan warna. Antaranya adalah kuih talam keladi, talam gula merah, talam pandan, talam ubi kayu, talam suji, talam seri muka dan sebagainya. Caranya tetap sama iaitu dikukus dan mempunyai dua lapisan. Kuih talam merupakan sejenis kuih manis yang sesuai dijadikan sebagai pencuci mulut dan teksturnya juga amat lembut dan sesuai dimakan oleh setiap golong umur. Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menghasilkan kuih talam gula merah yang sedap dan mudah.

Pengenalan

Kuih talam kebiasannya dihasilkan di dalam loyang yang berbentuk petak agar mudah untuk dipotong. Kuih ini biasanya dipotong dalam bentuk petak yang sedikit menyerong.  Warna dan rasa kuih talam yang pelbagai ini sering dijadikan sebagai menu pencuci mulut pilihan semasa jamuan keramaian. Cara penyediaan kuih talam juga amat mudah dan hanya perlu dikukus. Oleh itu, anda juga boleh mencuba untuk menghasilkan kuih talam anda sendiri di rumah dengan berpandukan resepi di bawah.

Masa Memasak: 1 jam 30 minit

Jumlah Hidangan: 5-6 orang

Bahan-Bahan Untuk Resepi Kuih Talam Gula Merah

Bahan-bahan kuih talam (bahagian lapisan bawah)

  • 1 cawan gula melaka
  • 1/2 cawan gula pasir
  • 1 1/2 cawan air
  • 2 cawan tepung gandum
  • 2 cawan air

Bahan-bahan kuih talam (bahagian lapisan atas)

  • 2 1/2 cawan santan kotak
  • 3 1/2 sudu besar tepung gandum
  • 1 sudu kecil garam

Cara- Cara Memasak Resepi Kuih Talam Gula Merah

  1. Mula-mula, masukkan gula melaka, gula pasir, dan air ke dalam periuk. Masakkan dengan api perlahan sehingga semua larut. Biarkan sejuk seketika apabila gula sudah larut.
  2. Apabila bahan larutan telah sejuk, angkat dan ketepikan. Masukkan tepung gandum dan air. Gaulkan sehingga semua bahan sebati dan tepung tidak berketul.
  3. Masakkan adunan tersebut seketika di atas api perlahan untuk lebih kurang 2 minit sekadar berwap.
  4. Sementara itu, panaskan pengukus di atas dapur.
  5. Kemudian, ambil loyang yang berbentuk petak dan sapukan sedikit minyak secara rata dan lapikkan dengan plastik agar apabila kuih masak nanti tidak melekat pada loyang.
  6. Tapiskan adunan sebelum dituangkan ke dalam loyang untuk mendapatkan tekstur kuih talam yang gebu dan lembut.
  7. Selepas itu, letakkan loyang yang berisi adunan kuih talam bahagian bawah ke dalam pengukus dan kukuskan selama lebih kurang 20 minit.
  8. Sementara menunggu kuih talam bahagian bawah masak, kita boleh sediakan adunan bahagian atas kuih talam.
  9. Di dalam mangkuk, masukkan santan, tepung gandum dan garam. Gaulkan sehingga adunan sebati dan tidak berketul.
  10. Masakkan seketika di atas dapur sehingga timbul wap sahaja.
  11. Apabila bahagian bawah kuih talam telah siap dikukus, tapiskan adunan atas kuih sebelum dituangkan ke atas bahagian bawah kuih yang telah siap dikukus sebentar tadi.
  12. Kukuskan selama lebih kurang 30 minit.
  13. Apabila kuih talam sudah siap dimasak, bolehlah dihidangkan.
  14. Selamat mencuba.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × 5 =