Resepi Murtabak

Resepi Mudah Murtabak Yang Enak

Bagaimanakah cara untuk membuat resepi murtabak yang enak? Menjelang bulan Ramadhan, semestinya bazar Ramadhan akan menjual pelbagai juadah untuk nikmati ramai. Salah satu makanan yang amat popular yang sering dijual di bazar adalah murtabak.

Pengenalan

Selalunya terdapat dua jenis murtabak yang dijual iaitu murtabak ayam atau murtabak daging. Kesedapan murtabak bergantung kepada isinya. Isi yang sedap pasti akan menambat hati orang yang menjamahnya. Selain itu, murtabak juga dilengkapi dengan pencicah seperti kuah bawang atau kuah kari. Jika anda tiba-tiba teringin menikmati murtabak walaupun bukan dalam bulan puasa, anda boleh menyediakannya sendiri di rumah. Di sini penulis akan berkongsi dengan anda resepi murtabak daging yang mudah dan enak. Anda juga boleh gantikan daging dengan isi ayam mengikut citarasa.

Masa Penyediaan: 4 jam 15 minit untuk doh roti, 30 minit untuk memasak

Jumlah Hidangan: 4 orang

Bahan-Bahan Untuk Resepi Murtabak

Bahan untuk kulit murtabak :

  • kuning telur 1 biji
  • 250ml air
  • garam halus, 1 sudu teh
  • tepung gandum, 500g
  • mentega, 2 sudu makan
  • susu pekat, 2 sudu

Bahan untuk inti murtabak :

  • halia satu inci (dikisar)
  • 4 ulas bawang merah (dikisar)
  • 2 ulas bawang putih (dikisar)
  • 1 biji bawang besar (dihiris)
  • 3 biji telur
  • Minyak untuk menumis
  • 1 sudu teh serbuk perasa (optional)
  • Sedikit garam
  • Sedikit kobis (optional)
  • Sebiji ubi kentang dipotong dadu kecil (optional)
  • 1 sudu rempah kari
  • 1 Pek daging kisar

Cara-Cara Menyediakan Resepi Murtabak

  1. Mula mula sekali kita buat dahulu doh murtabak, satukan susu, telur dan garam, kemudian gaul dengan sebati.
  2. Dengan menggunakan mangkuk yang berasingan, masukkan pula tepung dan mentega yang cair, kemudian ramas doh itu sehingga menjadi serbuk roti.
  3. Selepas itu, tuang air sedikit demi sedikit kemudian uli doh itu hingga tidak melekat pada jari anda.
  4. Apabila semua sudah selesai, rehatkan doh tersebut sekitar 15 minit.
  5. Selepas anda selesai merehatkan doh itu, ambil dan bulat kan menjadi seperti bola pingpong.
  6. Sapukan mentega pada doh beserta susu dalam bekas yang sudah siap disapu dengan mentega.
  7. Tutup bekas itu selama tempoh 4 jam .
  8. Kemudian kita beralih pula kepada proses membuat inti, panaskan minyak untuk menumis dan masukkan bahan-bahan kisar hingga naik wangi
  9. Kemudian anda masukkan pula daging kisar dan masak seketika hingga sebati
  10. Setelah itu, masukkan rempah dan sedikit air, kemudian masukkan kentang dan biarkan seketika sehingga kentang lembut
  11. Apabila kentang tadi sudah mulai lembut, masukkkan hirisan bawang, kobis, dan kemudian gaul hingga sekata dan masak.
  12. Sejukkan inti yang sudah siap dimasak.
  13. Campurkan inti bersama dengan telur yang telah dipukul.
  14. Tuangkan inti di atas doh yang sudah anda canai dan masak diatas kuali.
  15. Terbalikkan murtabak atas dan bawah supaya masak sekata.
  16. Masak seketika kemudian angkat.
  17. Sedia untuk dinikmati.

Selamat Mencuba!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 × one =