Bagaimanakah cara untuk menyediakan resepi ayam mangga yang sedap? Assalamua’laikum dan salam sejahtera buat anda semua. Pada kali ini saya akan berkongsi dengan anda tentang satu resepi yang cukup popular sejak kebelakangan ini iaitu ayam mangga. Ayam mangga merupakan masakan yang berasal daripada Thailand. Di sesetengah negeri di Malaysia masakan ini sudah pun mula popular sejak dahulu lagi seperti ni negeri Kelantan dan Perlis yang berdekatan dengan sempadan Thailand.
Ayam mangga ini mempunyai rasa yang enak seperti masam, manis dan pedas. Ia juga cukup sinonim dengan identiti manu masakan Thailand. Cara penyediaannya juga amat mudah. Dalam artikel kali ini, saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk memasak ayam mangga yang sedap dan cepat untuk disediakan.
Pengenalan
Mungkin masih ada segelintir rakyat Malaysia yang tidak pernah merasa makanan ayam mangga ini kerana ia jarang didapati di kedai-kedai makan. Ayam mangga ini merupakan ayam goreng celup tepung yang rangup, kemudian dicampur pula bersama hirisan mangga lemak manis, sos thai dan hirisan cili padi. Ia membuatkan ayam mangga ini istimewa dengan rasa yang lengkap manis, masam dan pedas. Mari saya akan kongsikan bersama anda resepi ayam mangga seperti di bawah.
Masa Memasak: 40 minit
Jumlah Hidangan: 5 orang
Bahan-Bahan Untuk Resepi Ayam Mangga
- 1/2 ekor ayam (dipotong kecil seperti ayam goreng kunyit dan dibasuh bersih)
- 1 mangkuk tepung jagung atau tepung bestari
- 2 sudu kecil serbuk lada hitam
- 1 sudu kecil garam
- Minyak masak (Untuk menggoreng)
- 5-6 sudu besar sos plum
- 5-6 sudu besar sos thai jenama Maepranom (mengikut selera masing-masing)
- 2 batang daun ketumbar (dihirs)
- 5 tangkai cili api merah (dihiris)
- 2 biji bawang merah (dihiris)
- 2 biji limau kasturi atau 1/2 biji limau nipis
- Sedikit air masak (cairkan kuah sos)
- 2 sudu besar gula pasir
- 1 biji mangga lemak manis (dihiris memanjang)
Cara- cara menyediakan Ayam Mangga yang Sedap dan Cepat
- Perapkan ayam yang telah dibasuh bersih bersama sedikit garam dan serbuk lada hitam.
- Gaulkan ayam yang telah diperap di dalam tepung jagung atau tepung bestari sehingga melekat.
- Kemudian, gorengkan ayam ke dalam minyak yang panas. Goreng sehingga kekuningan dan masak. Angkat dan toskan minyak seketika. Ketepikan sebentar.
- Dalam masa yang sama, sediakan kuah sos.
- Di dalam mangkuk, masukkan sos plum, sos thai, cili api, bawang merah dan daun ketumbar.
- Gaulkan sehingga sebati.
- Kemudian, masukkan gula, garam dan air limau kasturi. Gaulkan sehingga sebati. Ubah rasa mengikut kesesuaian.
- Selepas itu, masukkan hirisan mangga lemak manis. Kacau lagi untuk sebatikan rasa.
- Taburkan kuah sos di atas ayam yang telah digoreng rangup.
- Ayam mangga ini sedap untuk dimakan bersama nasi panas-panas ataupun diratah begitu sahaja.
- Selamat mencuba.