Resepi ayam masak Kung Pao

Resepi Ayam Kung Pao Yang Sedap dan Murah

Hmmm jika anda masih tak tahu nak masak apa, jom saya kongsikan resepi ayam kung pao yang pasti membuatkan anda teruja dengan keenakkannya.

Apa Itu Ayam Kung Pao?

Ayam Kung Pao atau Gong Bao, adalah masakan yang berasal dari sebuah wilayah di bahagian barat negara besar China, Szechuan. Masakan ini adalah popular bukan sahaja di negara asalnya, tetapi juga di negara-negara barat sebagai masakan ruji bagi bangsa Cina yang menetap di negara Barat atau ‘Westernized Chinese’.

Resepi ayam kung pao mempunyai kepelbagaiannya tersendiri mengikut citarasa orang yang memasaknya. Namun begitu, bahan utama dan cara memasaknya tetap sama, iaitu teknik masakan ‘stir-fry’ atau menggoreng dengan minyak yang sedikit. Bahan memasaknya pula terdiri daripada ayam yang dipotong dadu, cili kering dan kacang gajus.


Masa memasak: 50 minit

Jumlah Hidangan: 3-5 orang

Bahan untuk Resepi Ayam Kung Pao

Bahan-Bahan Asas:

  • 400g isi ayam (dipotong dadu)
  • 6 tangkai cili kering (dipotong seinci seinci dan direndamkan untuk membuang lebihan biji)
  • 2 inci halia (dihiris nipis)
  • 2 ulas bawang putih (dihiris nipis)
  • 1 biji bawang Holland
  • 3 sudu besar kacang gajus atau ‘cashew nut’
  • Sedikit daun bawang (dipotong seinci seinci)

Bahan-Bahan Perapan Ayam:

  • 2 sudu besar minyak bijan
  • 3 sudu besar tepung jagung
  • 4 sudu besar kicap cair

Bahan-Bahan Untuk Sos:

  • 4 sudu besar kicap manis
  • 2 sudu besar kicap cair
  • 1 sudu teh gula
  • Bancuhan air tepung jagung (1 sudu besar tepung jagung + 1/2 cawan air)

Cara Penyediaan Resepi Ayam Kung Pao

  1. Setelah dibersihkan, perapkan isi ayam yang telah dipotong dadu dengan campuran minyak bijan, tepung jagung dan kicap cair. Biarkan selama 30 minit untuk membenarkan isi ayam memerap rasa bahan-bahan campuran itu tadi.
  2. Sementara menunggu, sediakan kacang gajus dan panggang seketika di atas kuali dengan menggunakan api perlahan tanpa minyak dan ketepikan.
  3. Sediakan pula bahan-bahan sos dengan mencampurkan kicap manis, kicap cair dan gula di dalam mangkuk dan, kacau sehingga gula larut.
  4. Selepas ayam siap diperap, gorengkan ayam di atas kuali sehingga separuh masak.  Buang minyak berlebihan pada ayam dan ketepikan.
  5. Kemudian, kurangkan minyak di atas kuali agar cukup-cukup untuk menumis bawang putih, cili kering dan halia.
  6. Setelah bahan tumisan naik bau, masukkan ayam yang telah separuh masak tadi dan kacang gajus yang telah dipangang. Kacau seketika dan masukkan bancuhan sos yang telah disediakan tadi. Tambahkan hirisan bawang Holland ke dalam masakan dan, bancuhan air dan tepung jagung agar berkuah. Kacau lagi sehinga kuah kelihatan pekat.
  7. Kemudian, tutup api, masukkan daun bawang dan gaulkan sedikit. Ayam Kung Pao kini siap untuk dihidang.

Tips Berguna

  • Sentiasa pastikan kuali cukup panas sebelum memulakan masakan.
  • Potongan ayam dalam saiz yang sama dapat memastikan ayam masak dengan sekata.
  • Teknik ‘stir-fry’ bermaksud, masakan perlu sentiasa dikacau agar sos sebati dengan ayam itu tadi.

Selamat mencuba

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eight − seven =