Bagaimanakah cara untuk membuat resepi mee udang yang sedap? Pada kali ini saya akan berkongsi dengan anda tentang satu resepi yang sedap dan sesuai dijadikan sebagai hidangan makan petang iaitu mee udang. Menu mee udang ini rupa dan rasanya seakan sama dengan mee bandung ataupun mee rebus johor. Namun, perbezaannya adalah dari segi rempah ratus dan beberapa bahan yang digunakan.
Pengenalan
Menu mee udang menggunakan lauk udang sebagai penaik rasa dan kuahnya yang berwarna merah seakan kuah mee bandung. Apa yang special nya adalah, kuah mee udang mempunyai rasa yang enak dengan manis air udang yang membuat ia lebih sedap dengan rasa tersendiri. Cara penyediaannya juga tidaklah rumit dan anda pun boleh mencubanya sendiri di rumah. Oleh itu, saya akan kongsikan resepi mee udang seperti di bawah.
Masa Memasak: 40 minit
Jumlah Hidangan: 5-6 orang
Bahan-Bahan Untuk Resepi Mee Udang
- 3-4 biji bawang merah (dikisar halus)
- 3-4 ulas bawang putih (dikisar halus)
- 1-2 sudu kecil udang kering (dikisar halus)
- Sedikit belacan (dikisar halus)
- 2-3 sudu besar cili kering kisar (mengikut kepedasan yang anda mahukan)
- 4-5 sudu besar sos cili
- 2 sudu besar sos tomato
- 2 sudu besar sos tiram
- 2 biji kentang (direbus sehingga lembut kemudian dikisar halus dengan air rebusan udang)
- 1/2 kg udang (dibersihkan dan direbus)
- 4 cawan air masak
- Garam (secukup rasa)
- Stok ayam / kiub pati ayam (secukup rasa)
- Gula (secukup rasa)
- Sos ikan (secukup rasa)
- Mee kuning (dibersihkan dan dicelur)
- Sedikit sayur sawi
- 3-4 biji telur gred A (direbus sehingga masak)
- Segenggam tauge (dicelur)
- 4-5 biji limau kasturi (dibelah kepada 2 bahagian)
Cara- Cara Menyediakan Resepi Mee Udang
- Pertama sekali, rebuskan udang sehingga masak. Angkat dan toskan.
- Selepas itu, rebuskan kentang sehingga empuk. Kemudian, toskan air dan kisar sehingga halus menggunakan air rebusan udang. Ketepikan seketika.
- Rebuskan telur sehingga masak dan kupaskan kulit.
- Sementara itu, celur mee kuning dan tauge. Angkat dan toskan.
- Kisarkan bawang merah, bawang putih, belacan dan udang kering sehingga halus.
- Di dalam periuk, masukkan sedikit minyak. Tumiskan bahan kisar sehingga layu dan naik bau.
- Kemudian, masukkan lada kering kisar. Masak sehingga terbit minyak.
- Masukkan sos cili, sos tomato dan sos tiram. Kacau sehingga sebati.
- Masukkan kentang yang telah direbus dan dikisar halus ke dalam kuah. Tambahkan sedikit air. Kacau kuah tersebut.
- Perasakan kuah dengan garam, gula dan stok ayam secukup rasa.
- Masukkan udang yang telah direbus bersama sayur sawi. Kacaukan sebati.
- Apabila kuah sudah mereneh dan rasa sudah cukup. Bolehlah hidangkan bersama mee kuning, tauge, telur dan limau kasturi.
- Selamat mencuba.
Tips berguna :
- Untuk mendapatkan kuah yang pekat dan sedap, anda boleh gunakan kentang kisar yang dah direbus terlebih dahulu. Pastikan rebus sehingga empuk. Kisar hancur dan campurkan ke dalam kuah mee.
- Rebuskan udang bersama kepala dan kulitnya. Kemudian air rebusan disimpan dan digunakan semasa membuat kuah mee. Air ini yang membuatkan rasa kuah mee anda lebih manis. Pastikan tapiskan dulu airnya sebelum dicampur dalam kuah.