resepi kuey teow kungfu

Resepi Kuey Teow Kungfu yang Sedap dan Mudah

Bagaimanakah cara untuk menyediakan resepi kuey teow kungfu yang sedap dan mudah? Kuey teow kungfu amat mudah untuk didapati di kedai makan. Kuey teow kungfu juga sesuai untuk dihidangkan kepada anak kecil kerana rasanya yang kurang pedas.

Tapi, untuk penggemar makanan pedas juga sesuai untuk dihidangkan. Hanya perlu ditambah dengan sedikit cili padi potong. Kuey teow kungfu juga amat mudah untuk dimasak dan cepat.

Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menghasilkan kuey teow kungfu yang sedap tapi mudah.

Pengenalan

Kuey teow kungfu sering menjadi salah satu menu pilihan masakan panas apabila berkunjung ke kedai makan. Kuey teow kungfu kebiasaanya dihidangkan bersama sayur-sayuran yang banyak dan menggunakan makanan laut. Kanak-kanak juga menggemari kuey teow kungfu kerana rasanya yang kurang pedas.

Oleh itu, kuey teow kungfu sanagt sesuai untuk dimasak di rumah pada siang hari untuk dijamukan kepada seisi keluarga. Cara penyediaannya juga sangat mudah. Mari kita cuba resepi kuey teow seperti di bawah.

Masa Memasak: 40 minit

Jumlah Hidangan: 5 orang

Bahan untuk Resepi Kuey Teow Kungfu

Bahan-bahan untuk Kuey Teow:

  • 1 paket kuey teow (dibasuh bersih dan ditoskan)
  • 3 biji telur (telah dipukul)
  • 1 sudu kecil lada sulah
  • Sedikit tepung jagung (untuk merangupkan salutan telur kuey teow)
  • Sedikit minyak untuk menggoreng kuey teow

Bahan-bahan untuk Kuah:

  • Sedikit minyak untuk menumis
  • 3 ulas bawang putih (dicincang halus)
  • Sedikit sayur brokoli (dibasuh dan dipotong)
  • Sedikit kobis bunga (dibasuh dan dipotong)
  • 3 batang jagung muda (dibasuh dan dipotong)
  • 1/2 batang lobak merah (dibasuh dan dipotong memanjang)
  • 6 tangkai cili padi (diketuk dan dipotong dua)
  • 1 biji tomato (dibelah kepada 6 bahagian)
  • 5 ekor udang (dibasuh bersih)
  • 4 ekor sotong (dibasuh dan dipotong bulat)
  • Segenggam isi ayam (dibasuh dan dipotong nipis)
  • 1 mangkuk fishball atau fishcake (dibasuh dan dipotong)
  • 1 sudu kecil serbuk lada sulah
  • 1 sudu besar serbuk pati ayam
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar tepung jagung (dibancuh bersama sedikit air)
  • Garam dan gula (secukup rasa)
  • Air secukupnya (anggaran 3 cawan)
  • Daun bawang (dihiris)
  • Bawang goreng

Cara Memasak Resepi Kuey Teow Kungfu

  1. Basuh bersih kuey teow dan toskan airnya.
  2. Pukul telur bersama lada sulah dan tepung jagung.
  3. Panaskan minyak untuk menggoreng kuey teow.
  4. Di dalam mangkuk, letakkan kuey teow anggaran seorang makan dan tuangkab adunan telur tadi. Kacau sebati telur dan kuey teow.
  5. Gorengkan bancuhan telur bersama kuey teow dalam minyak panas seperti menggoreng telur dadar
  6. Goreng kedua-dua belah kuey teow. Angkat dan toskan minyak.

Cara-cara Memasak kuah:

  1. Panaskan sedikit minyak. Apabila minyak sudah panas, tumiskan bawang putih sehingga kekuningan dan naik bau.
  2. Masukkan isi ayam, fishball atau fishcake, kacau seketika sehingga isi ayam masak dan kering.
  3. Masukkan air secukupnya sehingga mendidih.
  4. Kemudian, masukkan sos tiram, serbuk pati ayam, lada sulah, garam dan gula secukup rasa.
  5. Masukkan udang dan sotong. Masak seketika.
  6. Masukkan lobak merah, jagung muda, bunga kobis dan brokoli.
  7. Seterusnya, masukkan tomato dan cili padi. Diikuti dengan bancuhan tepung jagung sedikit demi sedikit sehingga kuah pekat seperti yang diingini.
  8. Apabila semua bahan sudah sebati dan rasa sudah sekata, bolehlah tuangkan kuah ke atas kuey teow yang telah digoreng sebentar tadi dan dihidangkan bersama hirisan daun bawang dan bawang goreng. Selamat mencuba.

Tips Berguna

  • Jangan basuh kuey teow terlalu lama kerana nanti kuey teow menjadi terlalu lembik dan kurang sedap. Lepas basuh, toskan air sehingga kering.

Selamat mencuba resepi ini

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

16 − 11 =