resepi ayam korea

Resepi Ayam Korea Peminat Ramai

Bagaimanakah cara untuk memasak resepi ayam korea yang sedap? Resepi hipster ayam korea adalah resepi yang pernah meletup pada zaman moden ini dikalangan rakyat Malaysia. Hidangan ini bukan sahaja digemari oleh peminat-peminat artis k-pop dan drama korea, bahkan mereka yang tidak kenal berkenaan dengan ini juga jatuh cinta dengan masakan ayam korea ini. Hidangan ini boleh dimakan begitu sahaja, atau dimakan bersama keju mozarella atau bahkan boleh dijadikan lauk bersama nasi putih. Secara mudahnya masakan ayam korea boleh dimelayukan mengikut citarasa ‘tekak’ melayu.

Pengenalan

Ayam Korea merupakan resepi yang berasal daripada negara Korea. Jika anda pernah menonton drama korea, anda akan dapati masakan ayam korea ini seakan-akan seperti masakan ayam goreng disaluti kuah madu merah. Namun, rasa ayam korea adalah lebih pedas, rangup dan sedikit manis. Jika berkunjung ke restoran makanan Korea, ayam korea ini selalunya dihidangkan bersama dengan keju. Gabungan rasa ayam korea dan keju memang sangat enak dan anda tidak akan jemu menikmatinya.

Walaupun tidak dapat ke negara Korea atau mungkin tidak cukup bajet untuk ke restoran Korea, anda tetap boleh menyediakan masakan ayam korea sendiri di rumah. Tambahan pula, anda boleh menyediakannya dalam kuantiti yang lebih banyak untuk dimakan bersama seisi keluarga. Mari kita pelajari cara-cara untuk memasak ayam korea ini.

Bahan-Bahan Untuk Resepi Ayam Korea

  • 10-15 ketul ayam bahagian kepak atau drumstick/peha

Bahan Untuk Perap:

  • 1 inci halia (diparut/ tumbuk lumat)
  • 2 ulas bawang putih (diparut/tumbuk lumat)
  • 2 sudu kicap cair
  • 1 sudu kecil serbuk lada hitam ajinomoto

Bahan Untuk Ayam Goreng:

  • 1 cawan tepung beras
  • 2 sudu tepung jagung
  • 2 ulas bawang putih (diparut/tumbuk lumat)
  • 1 sudu kecil cajun spices/ serbuk paprika (optional)
  • 1 sudu kecil serbuk perasa
  • Minyak untuk menggoreng

Bhn Untuk Sos Salutan Ayam:

  • 2 ulas bawang putih (ditumbuk)
  • 1 sudu besar cili giling
  • 1 sudu besar serbuk cili/paprika
  • 3 sudu besar sos cili
  • 3 sudu besar sos tomato
  • 2 sudu besar sos korea Adabi/ sos gochujang korea
  • 2 sudu besar madu
  • 1 sudu besar gula pasir
  • 1/2 biji lemon diperah dan ambil airnya
  • Bijan secukupnya
  • Garam secukupnya

Cara-Cara Untuk Memasak Resepi Ayam Korea

  1. Bersihkan ketulan ayam dan toskan. Kemudian perapkan ayam dengan bahan-bahan perapan selama 30 minit-1 jam.
  2. Selepas itu, gaulkan ayam bersama bahan-bahan untuk gorengan yang telah digaul rata. Panaskan minyak, gorengkan ayam secara deep fry. Apabila telah kekuningan, angkat ayam dan toskan minyak.
  3. Kemudian, untuk sos salutan, tumiskan bawang putih. Selepas itu, masukkan cili giling dan tumis sehingga pecah minyak.
  4. Kemudian masukkan serbuk cili, sos tomato, sos cili dan sos korea. Gaul rata kesemuanya. Pastikan api tidak terlalu kuat supaya tidak hangit dan cepat kering.
  5. Setelah itu, masukkan pula madu, gula pasir dan air lemon. Gaulkan kesemuanya sehingga sebati.
  6. Rasa sedikit, jika kurang masin boleh tambahkan sedikit garam. Garam tidak perlu banyak kerana sudah ada dalam sos yang digunakan.
  7. Kemudian, bila kuah sedikit kering dan likat, boleg tutup api. Elakkan kuah terlalu cair supaya salutan ayam lebih cantik.
  8. Setelah tutup api, boleh masukkan ayam yang digoreng tadi dan gaulkan sehingga sos menyaluti ayam. Kemudian, taburkan bijan dan siap untuk dihidangkan.

Tips Masakan:

  • Boleh makan ayam korea bersama keju mozarella yang dipanaskan.
  • Lebih enak untuk dimakan semasa panas.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nineteen + 17 =