resepi daging merah ala thai

Resepi Daging Merah Ala Thai Lazat Terliur

Bagaimanakah cara untuk memasak resepi daging merah ala Thai yang sedap? Kali ini saya akan berkongsi dengan anda dengan satu resepi masakan thai yang popular setiap kali kita berkunjung ke restoran masakan thailand atau siam iaitu resepi daging merah.

Menu ini juga sentiasa menjadi pilihan rakyat Malaysia setiap kali berkunjung ke kedai masakan siam dan sering dipadankan bersama nasi putih panas-panas. Daging merah ala thai ini berwarna merah dan mempunyai rasa yang sedikit pedas dan kuahnya agak pekat. Lebih enak jika dimakan bersama sup kosong ataupun tomyam bersama telur dadar. Dalam artikel kali ini, saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menyediakan daging merah ala thai yang sedap dan mudah. 

Pengenalan

Daging merah ala thai yang merupakan salah satu menu popular di kedai makan thai ini amat mudah untuk disediakan dan diminati ramai. Bagi mendapatkan daging merah yang empuk, daging haruslah direbus dahulu ataupun rebuskan daging di dalam periuk tekanan bagi menjimatkan masa dan untuk mendapatkan tekstur daging yang empuk dan mudah untuk dimakan.

Di samping itu, daging yang empuk juga akan mudah untuk menyerap kuah yang bakal dimasak kemudian dan mampu membuatkan menu daging merah ini lebih enak. Oleh itu, saya akan kongsikan dengan anda resepi daging merah ala thai seperti di bawah.

Masa Memasak: 1 jam 30 minit

Jumlah Hidangan: 5-6 orang

Bahan-Bahan Untuk Resepi Daging Merah Ala Thai

  • 1/2 kg daging lembu (dibasuh bersih dan direbus terlebih dahulu sehingga empuk)
  • Beberapa titik pewarna masakan merah
  • 3 senduk minyak masak
  • 4 ulas bawang putih (diketuk dan dicincang)
  • 2 sudu besar cili kering kisar (mengikut kadar kepedasan yang dimahukan)
  • 3-4 sudu besar sos cili
  • 3-4 sudu besar sos tomato
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 batang lobak merah (dihiris nipis)
  • 1-2 sudu besar kicap sotong
  • 2 senduk air rebusan daging
  • 1 biji tomato (dipotong kepada 6 bahagian)
  • 1 biji bawang holland (dihiris secara membulat)
  • 3-4 helai daun limau purut
  • 5-6 tangkai cili padi (diketuk atau dihiris)
  • Air masak secukupnya
  • Garam, gula dan serbuk perasa (secukup rasa)

Cara- Cara Untuk Menyediakan Resepi Daging Merah Ala Thai

  1. Basuh dan bersihkan daging lembu. Rebuskan daging lembu bersama air yang cukup dan telah dititik dengan sedikit pewarna merah dan sehingga empuk. Anda juga boleh rebus daging lembu di dalam periuk tekanan bagi menjimatkan lebih masa. Setelah daging telah dimasak sehingga empuk, angkat dan toskan daging. Apabila daging telah sejuk, potong nipis daging tersebut secara lawan arah urat agar daging lebih mudah untuk dimakan.
  2. Di dalam periuk lain, masukkan minyak masak. Gorengkan daging yang telah dihiris sehingga sedikit garing. Kemudian, angkat dan toskan minyak.
  3. Selepas itu, tinggalkan sedikit minyak masak untuk menumis bawang putih sehingga layu dan kekuningan. Masukkan pula cili kering kisar dan masak sehingga pecah minyak.
  4. Kemudian, masukkan daging yang telah siap digoreng garing tadi bersama dengan sos cili, sos tomato, sos tiram dan hirisan daun limau purut. Kacau sehingga sebati dan sedikit masak.
  5. Masukkan pula lobak merah yang telah dipotong, sedikit cili padi, air rebusan daging, garam dan gula secukup rasa dan kicap sotong.
  6. Masakkan kuah seketika dan masukkan tomato bersama hirisan bawang holland.
  7. Daging merah ala thai telah pun siap. Bolehlah hidangkan bersama nasi putih panas-panas.
  8. Selamat mencuba.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two + 3 =