resepi daging paprik

Resepi Daging Paprik Memikat Selera Suami

Bagaimanakah cara untuk membuat resepi daging paprik yang sedap? Menu daging paprik merupakan menu yang sering didapati di kedai-kedai makanan Thailand atau Siam. Menu ini juga boleh dihidangkan bersama nasi putih atau nasi goreng. Selain daging, masakan paprik juga boleh menggunakan sotong, udang atau ayam.

Pengenalan

Resepi daging paprik adalah resepi yang ringkas namun sedap dan lazat. Rasa paprik yang masam, manis, masin dan pedas menjadikan ia sesuai dimasak bersama daging. Selain itu, masakan paprik juga mempunyai aroma tomyam yang menarik selera bagi sesiapa yang menikmatinya. Anda juga boleh meletakkan sayur-sayuran ke dalam masakan paprik seperti lobak merah, jagung kecil, bunga kobis dan kacang panjang. Jadi, anda tidak perlu fikirkan menu sayuran lain yang perlu dimasak jika anda punyai kekangan masa. Oleh itu, mari kita cuba memasak hidangan daging paprik ini di rumah dengan berpandukan resepi yang akan dikongsikan ini.

Saiz Hidangan: 3-4 orang

Bahan-Bahan Untuk Resepi Daging Paprik

  • 500 gram daging
  • 1 batang serai dititik
  • 4 ulas bawang putih ditumbuk
  • 2 sudu cili kering kisar
  • 2 sudu sos tiram
  • 2 sudu kicap manis
  • 3 sudu sos cili
  • 1 sudu pes tomyam
  • 1 batang lobak putih dipotong panjang
  • 6 batang jagung kecil
  • 1 biji bawang holland
  • 2 helai daun limau purut
  • 4 biji cili api
  • 1 biji tomato dibelah empat
  • Daun ketumbar (jika ada)
  • minyak secukupnya
  • Garam dan gula secukupnya

Cara-Cara Untuk Memasak Resepi Daging Paprik

  1. Hiris nipis daging. Kemudian, panaskan minyak. Goreng daging sehingga empuk dan hilang air daging.
  2. Dengan baki minyak yang tinggal bersama daging, tumiskan bawang putih dan serai. Tambahkan sedikit minyak jika baki minyak terlalu sedikit.
  3. Selepas itu, masukkan cili kering kisar. Tumiskan sehingga pecah minyak.
  4. Kemudian, masukkan 1-2 cawan air. Biarkan kuah mereneh.
  5. Selepas itu, masukkan sos tiram, kicap manis, sos cili dan pes tomyam. Gaul rata. Biarkan ia mereneh.
  6. Setelah itu, masukkan lobak merah, jagung kecil dan daun limau purut yang dibuang urat tengah. Gaulkan.
  7. Kemudian, masukkan cili api, bawang holland dan tomato. Masukkan juga garam dan gula secukup rasa. Gaul rata sehingga bawang sedikit layu. Kemudian tutup api.
  8. Taburkan daun ketumbar. Siap untuk dihidang.

Tips Masakan:

  • Boleh tambahkan 1 sudu thai chili paste Maepranom untuk rasa lebih sedap dan pekat.
  • Gunakan bahagian daging batang pinang supaya lebih lembut dagingnya.
  • Boleh tambahkan jenis sayur lain yang digemari seperti bunga kobis, kacang panjang atau brokoli.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seventeen + 5 =