Bagaimanakah cara untuk membuat resepi nasi minyak yang sedap? Nasi minyak merupakan menu yang tidak asing lagi dikalangan rakyat Malaysia dan sering menjadi hidangan di hari perkahwinan. Menu nasi minyak boleh digandingkan dengan pelbagai jenis lauk seperti ayam masak merah, daging masak hitam, kuah dalca, kari kambing dan sebagainya.
Pengenalan
Hidangan nasi minyak selalunya menggunakan jenis beras basmathi. Namun, jika tiada beras berbutir panjang ini, beras biasa pun boleh digunakan untuk membuat nasi minyak. Keenakan nasi minyak dengan bau aroma minyak sapi dan daun pandan membuatkan ia tetap enak walaupun hanya dimakan begitu sahaja. Selain itu, apa yang menarik, nasi minyak boleh dihidangkan dengan pelbagai jenis lauk. Untuk sayuran yang sesuai untuk nasi minyak pula adalah seperti kuah dalca dan acar timun.
Walaupun anda tidak dapat ke kenduri untuk menikmati nasi ini, anda boleh cuba untuk memasaknya di rumah. Selain resepinya mudah, bahan-bahan yang diperlukan juga tidak banyak. Mari kita cuba memasak nasi minyak di rumah untuk seisi keluarga.
Saiz hidangan: 5-6 orang
Bahan-Bahan Untuk Resepi Nasi Minyak
- 4 cawan beras basmathi
- 5 biji bawang merah kecil
- 4 ulas bawang putih
- 2 helai daun pandan (disimpul)
- 2 batang kulit kayu manis
- 2 kutum bunga lawang
- 3 biji buah pelaga
- 4 kuntum bunga cengkih
- 3/4 cawan susu cair
- 2 kiub pati ayam
- 2 sudu besar minyak sapi
- 4 sudu besar minyak masak
- 3/4 cawan susu cair
- 6 cawan air biasa
- Bawang goreng secukupnya
- Daun sup secukupnya
Cara-Cara Untuk Memasak Resepi Nasi Minyak
- Rendamkan beras basmathi selama 30 minit. Kemudian tapiskan dan masukkan ke dalam periuk nasi.
- Dalam kuali, panaskan minyak masak dan minyak sapi.
- Kemudian, tumiskan daun pandan, kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih seketika.
- Selepas itu, masukkan bawang merah dan bawang putih. Tumis sehingga sedikit garing. Kemudian masukkan kiub pati ayam yang dihancurkan dan kacau rata.
- Tuangkan tumisan tadi ke dalam periuk berisi beras basmathi. Kemudian masukkan air dan susu cair. Gaul rata dan masak nasi seperti biasa.
- Setelah masak dan nasi sejuk, gemburkan nasi dan taburkan bawang goreng dan daun sup yang telah dipotong.
Tips Masakan:
- Jika menggunakan beras basmathi, seeloknya rendam dahulu beras selama 30 minit. Boleh juga gunakan beras biasa.
- Jangan gembur nasi semasa nasi masih panas untuk mengelakkan nasi hancur. Tunggu sejuk dahulu.
- Jika minat, boleh campurkan kismis, gajus atau kacang peas dalam nasi minyak.