Resepi Kuih Ketayap Gebu dan Sedap

resepi kuih ketayap

Bagaimanakah cara untuk menghasilkan resepi kuih ketayap yang gebu dan sedap untuk disediakan? Kuih ketayap juga dikenali sebagai kuih dadar gulung. Ia merupakan kuih yang berwarna hijau dengan rasa inti kelapa yang manis dan merupakan salah satu kuih tradisional yang popular.

Di Malaysia, Singapura dan Brunei, kuih ini juga dikenali sebagai kuih lenggang atau kuih dadar selain namanya kuih ketayap. Manakala, di Indonesia pula ia lebih dikenali sebagai kuih dadar gulung. Kuih ini juga mudah untuk didapati di gerai yang menjual sarapan pagi. 

Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menghasilkan kuih ketayap gebu dan sedap.

Pengenalan

Kuih ketayap merupakan kuih manis tradisional yang sangat popular dalam kalangan orang Melayu. Kuihnya berwarna hijau dengan inti kelapa manis dan digulung seperti bentuk roti jala dan popia goreng. Untuk membangkitkan lagi rasa kuih ketayap tersebut, kita boleh menggunakan air perahan daun pandan bagi mendapatkan warna hijau kuih ketayap bagi menggantikan pewarna makanan hijau.

Bau pandan tersebut akan membangkitkan lagi aroma dan rasa kuih pandan. Kuih ini sering menjadi menu pilihan sarapan pagi mahupun juadah berbuka puasa. Cara penghasilannya juga amat mudah. Penyediaan kuih ketayap sangat mudah dan ringkas. Mari kita cuba resepi kuih ketayap seperti di bawah.

Masa Memasak: 40 minit

Jumlah Hidangan: 4 orang

Bahan-bahan Masakan Inti Kelapa

  • 1 biji kelapa parut (kelapa muda)
  • 1 ketul gula melaka
  • 1/2 cawan gula putih
  • 5-6 sudu besar air
  • 1 helai daun pandan
  • Garam secukup rasa

Cara-cara Memasak Inti Kelapa

  1. Masukkan kelapa parut, gula melaka dan sedikit air ke dalam kuali.
  2. Kacau sehingga gula melaka larut. Tambahkan sedikit lagi air agar gula mudah larut.
  3. Tambahkan gula putih dan garam. Dan diikuti dengan daun pandan.
  4. Teruskan mengacau sehingga semua bahan larut sebati.
  5. Masak sehingga inti bertukar ke warna kehitaman dan sedikit kering.
  6. Ketepikan dan tunggu sejuk. Sementara itu, boleh sediakan kulit ketayap.

Bahan-bahan masakan kulit kuih ketayap

  • 2 cawan tepung gandum
  • 1/2 santan kotak kecil
  • 1 1/2 cawan air pandan (kisar 1 1/2 cawan air bersama 10 helai daun pandan)
  • 1 biji telur
  • Sedikit pewarna hijau
  • 2 sudu besar minyak masak atau marjerin
  • Sedikit garam

Cara- cara Memasak Kulit Kuih Ketayap

  1. Masukkan semua bahan ke dalam blender atau pengisar dan kisar sehingga semua bahan halus sebati. Bancuhan perlulah tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair.
  2. Kemudian, tapiskan bancuhan tepung agar kulit ketayap yang terhasil lembut dan gebu.
  3. Panaskan kuali leper atau kuali tidak melekat. Sapukan sedikit minyak ke atas kuali dan ratakan menggunakan tisu.
  4. Masukkan 1 senduk bancuhan dan ratakan ke kiri dan kanan supaya bancuhan dalam kuali berbentuk bulat dan nipis.
  5. Angkat kulit ketayap apabila permukaan kulit sedikit kering.
  6. Letakkan inti kelapa pada tengah-tengah kuih dan gulung seperti popia goreng ataupun roti jala.
  7. Selamat mencuba. Bolehlah dihidangkan bersama kopi panas.

Tips berguna:

Tunggu kulit ketayap sedikit sejuk baru gulungkan bersama inti agar kulit tidak terkoyak. Dan gulungkan secara perlahan

Recommended Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

three × 2 =