Bagaimanakah cara untuk membuat resepi laksam yang sedap? Pada kali ini penulis ingin berkongsi satu resepi yang menjadi kegemaran ramai terutama warga Pantai Timur iaitu laksam. Laksam merupakan makanan tradisi bagi negeri-negeri pantai timur. Jika berkunjung ke restoran ataupun gerai yang menjual masakan pantai timur, laksam pasti akan menjadi salah satu menu yang dijual di sana.
Pengenalan
Laksam ialah menu makanan yang berasal dari negeri pantai timur. Terdapat pelbagai versi laksam mengikut negeri-negeri di pantai timur. Mee laksam diperbuat daripada tepung beras dan ia dimakan bersama kuah lemak isi ikan, sayur ataupun ulaman dan juga sambal.
Makanan ini juga sering dijadikan sebagai hidangan sarapan pagi bagi orang pantai timur tetapi ia juga sesuai dinikmati pada bila-bila masa sahaja. Jika anda seorang pengemar laksam, apa kata anda cuba untuk memasaknya sendiri mengikut resepi yang akan penulis kongsikan. Mari kita lihat bahan-bahan dan cara untuk menyediakan laksam.
Bahan-Bahan Untuk Resepi Laksam
Bahan untuk mee laksam
- 3 cawan tepung beras
- 1 1/2 cawan tepung gandum
- 5 cawan air suam ( 3 cawan air panas + 2 cawan air sejuk)
- Garam secukupnya
Bahan untuk kuah laksam
- 1/2 kg ikan kembung yang dibersihkan (boleh juga digantikan dengan ikan sardin)
- 5 keping asam keping
- Air secukupnya
- Garam secukupnya
- Gula secukupnya
- 3 biji bawang merah besar
- 5 ulas bawang putih
- 1/2 inci halia
- 1 batang serai
- 1/2 sudu makan lada hitam
- 1 biji gula melaka @ gula nisse
- Santan pekat (mengikut cita rasa)
Bahan-bahan untuk sambal belacan
- 5 tangkai cili padi merah (boleh kurangkan jika tidak suka pedas)
- 5 tangkai cili padi hijau (boleh kurangkan jika tidak suka pedas)
- 2 tangkai cili besar merah
- 2 biji limau nipis (untuk diambil jusnya) @ jus limau
- Garam secukupnya
- Gula secukupnya
Bahan-bahan ulaman
- Bunga kantan
- 1 batang timun
- Taugeh secukupnya (dibersihkan)
- Kobis
- Kacang panjang secukupnya
- Daun kesum
Cara-Cara Membuat Resepi Laksam
Mee Laksam
- Panaskan periuk pengukus dan loyang. Jika anda tidak mempunyai loyang boleh juga menggunakan tudung periuk.
- Masukan tepung, garam dan air suam ke dalam bekas yang sedikit besar.
- Kacau sebati hingga tidak ada tepung yang berketul. Boleh juga menggunakan pengisar untuk membuat bancuhan tepung.
- Selepas adunan siap dibancuh, sapukan sedikit minyak di permukaan loyang.
- Tuang 3 senduk kecil bancuhan tepung kedalam loyang.
- Kukus selama 3 – 5 minit.
- Jika dah masak angkat dan sejukkan. Selepas itu boleh la digulung.
- Ulang langkah yang sama sehingga habis bancuhan tepung kita tadi.
- Akhir sekali, potong lebih kurang 1/2 inci tebal setiap gulungan mee laksam .
Kuah laksam:
- Siang dan basuh bersih ikan kembung.
- Rebus ikan tersebut bersama asam keping dan garam.
- Jika ikan dah masak, angkat dan sejukkan terlebih dahulu. Tapis air rebusan ikan dan ketepikan.
- Selepas itu, asingkan isi ikan dan tulang.
- Kisar halus isi ikan bersama bawang merah, bawang putih, halia dan lada hitam.
- Masukan bahan kisar, serai dan asam keping ke dalam periuk yang telah dipanaskan.
- Masukan juga air rebusan ikan yang telah ditapis.
- Selepas itu masukkan santan pekat, gula melaka, garam secukupnya dan serai. Masak menggunakan api perlahan.
- Jika kuah sudah secukup rasa boleh matikan api.
Sambal belacan:
- Kisar kasar semua cili.
- Gaul bersama jus limau dan perasakan garam, gula mengikut cita rasa.
Ulaman:
- Hiris halus semua sayuran atau ulam-ulaman.
- Jika sudah siap boleh dihidangkan bersama laksam.
Tips Hidangan:
- Boleh makan laksam bersama belacan dan garam mengikut cara orang Kelantan