resepi lompat tikam

Resepi Lompat Tikam Santapan Pemanis Mulut

Bagaimanakah cara untuk membuat resepi lompat tikam? Lompat tikam adalah merupakan sejenis hidangan pemanis mulut yang enak yang berasal daripada negeri pantai timur. Makanan ini juga sering di jual di pasar di negeri pantai timur iaitu di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Selain itu, lompat tikam juga amat popular apabila menjelang bulan Ramadhan dan ia sering menjadi hidangan manisan semasa berbuka puasa.

Pengenalan

Lompat tikam merupakan makanan pemanis mulut yang unik dan istimewa. Hidangan yang mempunyai pelbagai warna ini menjadi tarikan ramai. Elemen utama yang terdapat bagi lompat tikam adalah tepung hijau pandan, lapisan putih santan kelapa, pulut berwarna merah dan air gula merah atau sira. Cara membuatnya tidaklah sukar namun sedikit rumit kerana ia terdiri daripada pelbagai elemen. Walau bagaimanapun, anda pasti berpuas hati dengan kenikmatan hasil menyediakan juadah lompat tikam ini sendiri. Mari kita pelajari menu pemanis mulut yang enak dan istimewa ini.

Bahan-Bahan Untuk Membuat Resepi Lompat Tikam

Bahan Air Gula Merah atau Sira

  • Dua cawan air
  • Satu cawan gula merah
  • Satu cawan gula putih
  • 1 helai daun pandan (disimpul dan disiat)

Bahan Lapisan Tepung Hijau

  • 3 cawan santan cair
  • 1 cawan tepung beras
  • 1 sudu besar tepung jagung
  • ½ cawan air daun pandan (blend pandan tapis airnya)
  • 1 sudu teh air kapur
  • Sedikit pewarna hijau
  • Setengah sudu teh garam

Bahan Kepala Santan Putih

  • 1 ½ cawan tepung beras
  • 4 cawan santan pekat
  • 1 sudu besar tepung jagung
  • 1 sudu teh garam

Bahan Pulut Merah

  • 2 cawan beras pulut
  • Dua cawan air
  • 2 sudu besar minyak masak
  • Sedikit garam
  • Beberapa titik pewarna merah

Cara-Cara Untuk Memasak Resepi Lompat Tikam

Cara-cara memasak air gula merah atau sira

  1. Masukkan kesemua bahan-bahan ke dalam periuk.
  2. Masak dengan api sederhana sehingga mendidih.
  3. Tutup api dan biarkan sejuk. Setelah itu, tapiskan airnya.

Cara-cara memasak lapisan tepung hijau

  1. Panaskan terlebih dahulu periuk kukus.
  2. Campurkan semua bahan dan gaulkan sehingga sebati. Tapiskan untuk mengelakkan adunan berketul.
  3. Masukkan adunan ke dalam loyang yang telah digris dengan sedikit minyak dan kukus selama 15 minit sehingga masak. Lorekkan sedikit permukaan dengan garfu untuk mudah bercantun dengan lapisan putih nanti.

Cara-cara memasak kepala putih santan

  1. Campurkan semua bahan, gaul sebati dan tapis untuk mengelakkan adunan berketul.
  2. Tuangkan adunan ke atas lapisan hijau yang telah siap masak tadi dan sambung kukus lagi selama 15 minit sehingga masak.
  3. Setelah masak, sejukkan terlebih dahulu sebelum dipotong.

Cara-cara memasak pulut merah

Campurkan semua bahan-bahan dan masak seperti memasak nasi dengan menggunakan rice cooker.

Hidangkan semua dan siram dengan air gula merah. Sedia untuk dinikmati!

Tips Berguna

  • Lorekkan sedikit lapisan permukaan hijau dengan garfu sebelum menuangkan lapisan kepala putih santan untuk memastikan kedua-dua lapisan hijau dan putih melekat apabila sudah masak.
  • Untuk pulut merah lebih berlemak, boleh tambahkan sedikit santan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two × five =