resepi mee bandung

Resepi Mee Bandung Ringkas dan Cepat

Bagaimanakah cara untuk membuat resepi mee bandung yang ringkas dan cepat sesuai untuk dimasak pada bila-bila masa sahaja? Mee bandung terdapat pelbagai jenis penyediaannya. Antaranya adalah mee bandung Muar dengan penyediaannya seakan mee rebus johor menggunakan keledek dan kacang.

Manakala, resepi yang akan dikongsi sebentar nanti merupakan mee bandung ringkas yang kebiasaannya mudah didapati di kedai makan yang menyediakan masakan panas. Mee bandung ini sesuai dimakan pada malam hari jika ingin menukar selera dari nasi kepada mee. Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menyediakan mee bandung yang ringkas dan cepat.

Pengenalan

Mee bandung terdapat dua jenis penyediaan. Mee bandung yang terkenal di Johor ada mee bandung Muar yang mana cara penyediaannya hampir sama dengan mee rebus johor dengan penambahan kacang tumbuk dan keledek. Tapi, mee bandung yang akan dikongsi ini berbeza dengan mee bandung Muar. Mee bandung ini sangat mudah untuk disediakan dan cepat. Bahan-bahan juga mudah untuk didapati dan kebanyakkannya memang sudah ada di dapur anda. Mee bandung ini sesuai dimakan pada belah petang atau malam pengganti nasi goreng. Mari kita cuba resepi mee bandung seperti di bawah.

Masa Memasak: 30 minit

Jumlah Hidangan: 4-5 orang

Bahan untuk Resepi Mee Bandung

Bahan-bahan Kisar

  • 2 biji bawang besar saiz sederhana
  • 4 ulas bawang putih
  • 2 sudu besar udang kering
  • 6-7 tangkai cili kering yang sudah direbus (bergantung kepada tahap kepedasan masing-masing)

Bahan-bahan Lain

  • 2 paket mee kuning (dibasuh bersih dan ditoskan)
  • Sedikit minyak
  • 4 sudu besar sos cili
  • 3 sudu besar sos tomato
  • 3 sudu besar sos tiram
  • Segenggam isi ayam (dibasuh bersih)
  • 10 ekor udang (dibasuh bersih)
  • Sedikit sotong (dibasuh bersih dan dipotong bulat)
  • 1 batang lobak merah (dipotong nipis)
  • 1 ikat sayur sawi (dipotong dan dibasuh bersih)
  • 2 biji tomato (dipotong kepada 8 bahagian)
  • 5 tangkai cili padi (diketuk atau dipotong)
  • 1 sudu besar tepung jagung (dibancuh bersama sedikit air)
  • 5 biji telur
  • Garam, gula dan serbuk perasa (secukup rasa)
  • Air secukupnya (anggaran 1 liter)

 Bahan-bahan tambahan

  • Bawang goreng
  • Cili besar merah (dihiris nipis)
  • Daun sup (dipotong nipis)
  • Tauhu goreng (dipotong nipis)
  • Limau kasturi yang telah dipotong dua

Cara Memasak Resepi Mee Bandung:

  1. Sediakan sayur seperti tomato, sawi, lobak merah, daun sup, cili besar merah dan limau kasturi dengan dibasuh bersih dan dipotong.
  2. Kemudian, potong dan basuh bersih isi ayam, udang dan sotong.
  3. Gorengkan tauhu, angkat dan toskan. Kemudian dipotong nipis.
  4. Kisarkan bawang besar, bawang putih, udang kering dan cili kering di dalam pengisar sehingga lumat.
  5. Panaskan sedikit minyak. Apabila minyak sudah panas, masukkan bahan yang telah dikisar sebentar tadi. Kacau sehingga pecah minyak dan naik bau.
  6. Masukkan isi ayam dan kacau sehingga isi ayam masak.
  7. Kemudian, masukkan air secukupnya, sos cili, sos tomato, sos tiram, lobak merah, batang sawi, garam, gula dan serbuk perasa. Renehkan kuah sebentar.
  8. Seterusnya, masukkan udang, sotong, tomato, cili padi, bancuhan tepung jagung sedikit demi sedikit sehingga kuah pekat seperti yang diingini.
  9. Kemudian, masukkan telur dan daun sawi sehingga telur hampir masak.
  10. Masukkan mee kuning yang telah dibasuh bersih dan gaul sebati semua bahan sehingga mee masak sepenuhnya.
  11. Apabila semua bahan sudah sebati dan rasa sudah sekata, bolehlah dihidangkan bersama tauhu, daun sup, bawang goreng, cili besar merah dan limau kasturi. Selamat mencuba.

Tips berguna

  • Rasa kuah mee bandung ada sedikit rasa manis, masin dan lemak. Jadi, perlu pandai seimbang sukatan gula, garam dan serbuk perasa.
  • Elakkan daripada mengacau telur yang telah dimasukkan ke dalam kuali untuk mengelakkan daripada telur menjadi hancur.

Selamat mencuba resepi ini

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nineteen + 9 =