resepi mee rebus johor

Resepi Mee Rebus Johor yang Sedap dan Pekat

Bagaimanakah cara untuk membuat resepi mee rebus johor yang sedap dengan kuah yang pekat? Mee rebus johor ini sangat terkenal dengan kuahnya yang pekat dan sedap malah makin mudah didapati di negeri-negeri lain juga. Mee rebus juga terdapat pelbagai variasi.

Antaranya adalah mee rebus kelantan yang mana kuahnya seperti mee sup tapi yang membezakannya adalah mee dicampurkan sekali ke dalam kuah sup tersebut. Sangat sedap dimakan ketika panas dan dihidangkan sekali dengan sedikit sos cili dan lada jeruk sebagai penambah rasa.

Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menyediakan mee rebus johor yang sedap dengan kuahnya yang pekat.

 Pengenalan

Mee rebus johor ini terkenal dengan rasanya yang sedap, pekat dan manis hasil dari ubi keledek rebusnya. Mee rebus jenis ini terkenal di bahagian selatan Malaysia, Singapura dan juga Indonesia. Sangat sesuai untuk dihidangkan pada minum petang, hari raya mahupun jamuan rumah terbuka.

Selain mee rebus johor, mee rebus kelantan juga terkenal di bahagian timur Malaysia dengan kuahnya yang sedap dimakan bersama lada jeruk dan amat mudah dan ringkas untuk disediakan. Sesuai dimakan pada bila-bila masa sahaja. Resepi penyediaannya hampir sama dengan mee sup cuma yang membezakannya adalah mee dimasukkan sekali dalam kuah mee rebus.

Mari kita cuba resepi mee rebus johor seperti di bawah.

Masa Memasak: 1 jam30 minit

Jumlah Hidangan: 6 orang

Bahan untuk Resepi Mee Rebus Johor

Bahan Asas

  • 3 bungkus mee kuning (dicelur)
  • 1/2 kg daging yang direbus dan dihiris nipis
  • 3 biji ubi keledek saiz sederhana yang telah direbus dan dikisar bersama air rebusan ubi keledek
  • 1 cawan taucu yang telah dicuci dan dikisar
  • 4 ulas bawang putih (dikisar)
  • 5 biji bawang merah (dikisar)
  • 2 biji bawang besar (dikisar)
  • 1 inci halia (dikisar)
  • 1 inci kunyit hidup (dikisar)
  • 15 tangkai cili kering (dikisar)
  • 1/2 cawan udang kering (dikisar)
  • 4 sudu besar rempah kari daging
  • 2 batang serai (dititik)
  • 1 inci lengkuas (dititik)
  • Garam, gula dan serbuk perasa
  • Minyak untuk menumis
  • 1 cawan air asam jawa

Bahan-bahan Tepung Udang Kering

  • 1/2 cawan udang kering (dikisar)
  • Sedikit serbuk kunyit
  • 80 g tepung gandum
  • Garam secukup rasa
  • Air secukupnya
  • Minyak untuk menggoreng

Bahan-bahan tambahan

  • Tauhu yang telah digoreng dan dipotong nipis
  • Daun sup dihiris halus
  • Telur rebus yang telah dipotong dua
  • Bawang goreng
  • Lada besar hijau dipotong halus
  • Taugeh yang telah dicelur
  • Limau kasturi yang telah dipotong dua

Cara Memasak Resepi Mee Rebus Johor

Cara – cara menggoreng tepung udang kering:

  1. Satukan semua bahan dan kacau sebati.
  2. Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali.
  3. Renjiskan bancuhan tepung ke dalam minyak yang sudah panas dan goreng sehingga garing.
  4. Kemudian, angkat dan toskan minyak.

Cara-cara memasak kuah mee rebus

  1. Rebuskan daging sehingga empuk dan dihiris nipis daging yang telah empuk.
  2. Panaskan minyak di dalam periuk.
  3. Masukkan serai dan lengkuas yang telah dititik.
  4. Kemudian, tumiskan bahan kisar seperti bawang putih, bawang merah, bawang besar, kunyit hidup, halia, cili kering dan udang kering sehingga garing dan naik bau.
  5. Masukkan rempah kari sehingga menjadi rencah.
  6. Seterusnya, masukkan taucu dan keledek yang telah dikisar dan biarkan ia mereneh.
  7. Masukkan air asam jawa, garam, gula dan perasa secukup rasa. Kacau sebati agar kuah masak sekata.
  8. Kemudian, masukkan daging dan letak sedikit air rebusan daging mengikut kepekatan kuah yang diinginkan.
  9. Apabila kepekatan dan rasa kuah sudah seimbang, bolehlah dihidangkan bersama mee kuning yang telah dicelur, tauhu, daun sup, telur rebus, bawang goreng, lada hijau, limau kasturi dan jemput-jemput udang kering. Selamat mencuba.

Tips berguna

  • Untuk mendapatkan kuah mee rebus yang manis, anda boleh gunakan ubi keledek yang berwarna oren berbanding ubi keledek yang berwarna merah.

Selamat mencuba resepi ini

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

16 − eleven =