Resepi Nasi Beriani

Resepi Nasi Beriani Ala Pakistan Yang Enak

Bagaimana cara menyediakan nasi beriani yang enak dan lazat seperti seakan-akan sama dengan nasi beriani Pakistan? Nasi beriani dengan aroma rempah ratus sangat sedap dimakan bersama lauk yang berkuah seperti ayam masak merah, kurma ayam atau daging kurma.

Bahkan jika hidangan ini ditambah pula dengan acar buah, ia pasti akan membangkitkan selera anda. Jom! kita terus belajar cara cara masak nasi beriani Pakistan ini.

Pengenalan

Nasi beriani merupakan hidangan yang berasal dari timur tengah. Hidangan ini kerap disajikan di negara Pakistan. Nasi beriani boleh dimasak beserta dengan pelbagai jenis lauk seperti ayam, daging lembu atau kambing ataupun bersama telur. Hidangan ini juga sering menggunakan beras jenis panjang atau beras basmathi.

Masa Memasak: 1 jam 30 minit hingga 2 jam

Jumlah Hidangan: 4 orang

Bahan-Bahan Untuk Resepi Nasi Beriani

Bahan-bahan untuk kisar halus

  • 4 ulas bawang putih
  • 2 inci halia
  • 2 biji tomato (kisar asing tomato)

Bahan-bahan untuk perapan

  • 1/2 ekor ayam
  • 3 sudu besar rempah briyani
  • 3-4 sudu besar yoghurt asli
  • 1/2 sudu besar garam
  • 1/2 sudu kecil lada hitam

Bahan-bahan untuk digoreng

  • 1 cawan gajus
  • 8-10 biji bawang merah kecil (hiris nipis)

Bahan-bahan untuk masakan ayam

  • 2 cawan minyak masak
  • Sebiji bawang holland (hiris nipis)
  • 1 sudu besar minyak sapi
  • Sebatang kayu manis
  • Sekuntum bunga lawang
  • 4 biji buah pelaga
  • 2 kuntum cengkih
  • 1 helai daun salam (hiris kasar)
  • 1 biji kentang (potong pada 4 bahagian)
  • 8-10 biji cili padi hijau
  • 1/2 mangkuk kismis
  • 1 ikat daun ketumbar (hiris kasar)
  • garam secukup rasa
  • gula secukup rasa

Bahan-bahan untuk nasi

  • 4 cawan beras basmathi
  • 2 liter air
  • Sebatang kayu manis
  • 1 kuntum bunga lawang
  • 2 biji buah pelaga
  • 1 kuntum cengkih
  • 1 helai daun salam
  • 1/2 sudu kecil lada hitam
  • garam
  • sedikit minyak
  • pewarna kuning

Bahan-bahan untuk salad

  • 1/2 biji bawang holland
  • 1 biji tomato
  • 1 batang timun
  • Perahan jus lemon
  • sedikit gula
  • secubit garam

Cara-cara Memasak Resepi Nasi Beriani

Cara-cara untuk memasak ayam untuk resepi Nasi Beriani

  1. Campurkan bahan perapan iaitu bahan yang sudah dikisar (bawang putih dan halia), rempah briyani, yoghurt asli, garam dan lada hitam ke dalam mangkuk berisi ayam yang sudah dibersihkan.
  2. Gaulkan sebati dan perap ayam selama ½ jam.
  3. Sementara menunggu ayam diperap, gorengkan gajus sehingga keperangan dan angkat. Ketepikan.
  4. Guna minyak yang sama, gorengkan pula kentang sehingga keperangan dan angkat. Ketepikan seketika.
  5. Ulang Langkah tadi, masukkan pula bawang merah dan gorengkan sehingga kekuningan. Angkat dan ketepikan.
  6. Kemudian, keluarkan sedikit minyak tadi dan tumiskan bawang holland sehingga naik bau dan berubah warna kekuningan.
  7. Masukkan pula minyak sapi, kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, cengkih dan daun salam ke dalam kuali. Kacau seketika dan biarkan sehingga layu sedikit bahan dan naik bau yang wangi.
  8. Masukkan pula ayam perapan kedalam kuali tadi.
  9. Letak sedikit bawang goreng dan tomato yang sudah dikisar halus ke dalam kuali. Masakkan sehingga kuah menjadi kering dah pecah minyak.
  10. Kemudian, masukkan cili padi, kentang, kismis, garam secukup rasa, sedikit hirisan daun ketumbar dan sedikit yogurt. Kacau dan biarkan seketika sehingga kuah menjadi pekat.
  11. Masukkan gula secukup rasa dan tambah air sekiranya kuah menjadi kering.
  12. Biarkan seketika sehingga masak dan tutup api.

Cara-cara untuk memasak nasi untuk Resepi Nasi Beriani

  1. Beras direndam selama 10 minit. Selepas direndam, air rendaman beras dibuang dan toskan beras.
  2. Panaskan air didalam periuk nasi dan masukkan 4 sekawan (bunga lawang, kulit kayu manis, buah    pelaga dan bunga cengkih), daun salam, lada hitam dan garam secukup rasa.
  3. Kemudian, masukkan beras dah masak sehingga air mendidih (pastikan beras masak dalam 70% sahaja)
  4. Angkat dan tapiskan air.
  5. Tuangkan sedikit minyak ke atas beras supaya tidak melekat. Kemudian gaulkan agar sekata
  6. Bahagikan nasi kepada 3 bahagian dan ayam yang sudah dimasak kepada dua bahagian.
  7. Masukkan bahagian pertama nasi kedalam periuk nasi dan ratakannya.
  8. Kemudian, masukkan pula bahagian pertama ayam berserta kuahnya sekali.
  9. Setelah itu, masuk lagi bahagian kedua nasi serta ratakan diatas ayam tadi.
  10. Masukkan pula bahagian kedua ayam bersama kuah, bawang goreng dan hirisan ketumbar.
  11. Dan masukkan nasi untuk lapisan terakhir serta letakkan bawang goreng dan hirisan ketumbar.
  12. Tuangkan sedikit minyak dan susu cair yang dicampur dengan air.
  13. Letak sedikit pewarna kuning.
  14. Kemudian, tutup dengan penutup yang dibalut dengan kain. Biarkan nasi masak.
  15. Rehatkan dalam 1/2 jam tanpa membuka penutup periuk nasi.
  16. Geburkan nasi dan letak kacang gajus dan hirisan daun ketumbar.

Cara-cara untuk menyediakan salad untuk resepi Nasi Beriani

  1. Potong dadu bawang holland, tomato dan timun. Ketepikan
  2. Perahkan jus lemon ke dalam mangkuk yang berisi bahan yang sudah dipotong dadu.
  3. Letakkan gula secukup rasa, serbuk lada hitam dan garam sedikit.
  4. Gaulkan sebati dan simpan di dalam peti sejuk.

Tips Berguna:

  • Boleh letak sedikit minyak zaitun didalam salad anda
  • Pastikan tomato dan timun dibuang bahagian tengah

Selamat mencuba!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × 2 =