Resepi Churros

Resepi Churros yang Rangup dan Menyelerakan

Bagaimanakah cara untuk menghasilkan churros yang rangup dan menyelerakan untuk disediakan? Churros merupakan sejenis hidangan yang asalnya dari negara Sepanyol dan Portugis. Selain itu, Churros berbentuk jejari seperti kuih cakoi yang mana rangup di luar tapi lembut di dalam dan disaluti dengan gula yang telah dicampur dengan serbuk kayu manis. Churros sangat enak jika dimakan bersama sos coklat.

Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menyediakan churros yang rangup dan menyelerakan.

Pengenalan

Churros sesuai dimakan pada minum petang dicicah bersama sos coklat. Ia jarang dimakan oleh rakyat Malaysia kerana ia berasal dari luar negara iaitu Sepanyol dan Portugis. Namun, sejak kebelakangan ini ia semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ada juga yang menjual kuih churros ini secara sejuk beku dan ada juga yang menjualnya di kedai secara panas-panas. Churros ini sedap dimakan ketika panas kerana rasanya akan rangup di luar dan lembut di dalam. Mari kita cuba resepi churros seperti di bawah.

Masa Memasak: 60 minit

Jumlah Hidangan: 4-5 orang

Bahan-bahan Resepi Churros

Bahan-bahan untuk Churros

  • Secawan air
  • 1 sudu besar gula pasir
  • 1 sudu kecil esen vanila
  • Secubit garam
  • 1 sudu besar mentega
  • Secawan tepung gandum
  • Sebiji telur
  • Minyak masak secukupnya
  • Gula halus
  • Serbuk kayu manis

Bahan-bahan masakan sos coklat

  • 1 cawan serbuk koko
  • 1/2 cawan susu cair
  • 1 cawan susu pekat (bergantung kepada rasa manis masing-masing. Jika sukakan manis, lebihkan susu. Jika tidak, kurang susu.)
  • 1/2 cawan minyak masak

Cara-cara Memasak Resepi Churros

  1. Masukkan air, garam, gula pasir, mentega dan esen vanila ke dalam kuali. Hidupkan api perlahan dan kacau sehingga gula larut.
  2. Matikan api kemudian masukkan pula tepung sedikit demi sedikit. Uli sambil balik-balikkan tepung sehingga menjadi doh yang lembut.
  3. Selepas itu, masukkan telur. Teruskan menguli sehingga doh tidak mempunyai ketul-ketul tepung dan tidak melekat pada tangan.
  4. Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali.
  5. Masukkan doh ke dalam beg paip yang telah diisi dengan muncung berbentuk bintang. Paipkan churros ke dalam minyak yang telah panas anggaran panjang jari telunjuk. 
  6. Goreng sehingga berwarna kuning keemasan. Angkat dan toskan minyak.
  7. Gaulkan ke dalam gula halus yang telah dicampur dengan sedikit serbuk kayu manis.

Cara-cara memasak sos coklat

  1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk.
  2. Hidupkan api perlahan dan kacau semua bahan sehingga sebati dan sedikit likat. Sentiasa kacau agar sos coklat tidak hangit dan menjadi berketul.
  3. Sudah siap dan boleh dihidangkan bersama churros.
  4. Selamat mencuba.

Tips berguna:

  • Gunakan kuali tidak melekat untuk memudahkan menguli doh.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 + two =