Bagaimanakah cara untuk menghasilkan resepi puding jagung yang sedap dan mudah untuk disediakan? Memandangkan sekarang ini musim panas di Malaysia, memang sedap kalau makan sesuatu yang sejuk dan menyelerakan. Sudah pasti puding jagung menjadi pilihan pencuci mulut yang tepat untuk disajikan pada musim panas begini.
Puding jagung juga sesuai untuk dihidangkan pada majlis hari jadi, rumah terbuka dan sebagainya. Bukan sahaja rasanya yang enak dengan rasa lemak manis jagung, malahan cara penyediaannya juga mudah. Di samping bahan-bahan yang digunakan juga tidak banyak dan mudah untuk didapati di pasaraya terdekat anda.
Terdapat banyak versi cara penyediaan puding jagung yang mana ada yang menggunakan santan dan ada juga yang menggunakan susu cair. Terpulang kepada citarasa masing-masing. Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menghasilkan puding jagung yang sedap dan mudah.
Pengenalan
Puding jagung merupakan sejenis hidangan pencuci mulut yang berwarna kuning yang kebiasaannya dimakan sejuk-sejuk. Hidangan ini bukan sahaja menjadi kegemaran orang dewasa malahan kanak-kanak juga kerana rasanya yang enak dan warnanya yang menarik berjaya memikat hati semua lapisan golongan.
Untuk rasa yang lebih sedap dan berlemak serta penuh dengan jagung, anda boleh menyediakannya sendiri di rumah untuk lebih rasa puas hati apabila memakannya. Hal ini kerana, anda boleh mengikut citarasa anda. Mari kita cuba resepi puding jagung seperti di bawah.
Masa Memasak: 40 minit
Jumlah Hidangan: 4-5 orang
Bahan-bahan untuk Resepi Puding Jagung
- 1 cawan Tepung Kastard
- 3/4 cawan Gula (kurangkan jika taknak terlalu manis, lebihkan jika sukakan manis)
- 1 tin Jagung Manis
- 1 tin Susu Cair
- 3 cawan Air
- Garam secukup rasa
- Sedikit pewarna kuning (opsyenal)
Cara-cara memasak resepi puding jagung
- Satukan bahan-bahan ke dalam periuk. Kacau terlebih dahulu bahan-bahan agar sebati tanpa menghidupkan api bagi mengelakkan tepung kastard jadi berketul).
- Apabila bahan-bahan sudah sebati, hidupkan api secara perlahan. Sentiasa kacau adunan sehingga likat dan berkilat.
- Adunan akan sedikit meletup-letup menandakan ia sudah masak.
- Tuangkan adunan puding ke dalam acuan yang sesuai semasa adunan masih panas.
- Sejukkan seketika pada suhu bilik sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk. Apabila adunan sudah sejuk, bolehlah potong puding jagung anda.
- Selamat mencuba.
Tips berguna:
- Adunan perlu sentiasa dikacau adunan dengan api perlahan agar adunan sekata dan tidak berketul.
- Bahan-bahan perlu disukat menggunakan cawan yang sama.
- Terpulang kepada anda jika ingin meletakkan pewarna kuning ataupun tidak kerana tepung kastard akan berubah menjadi kuning apabila sudah masak. Tetapi, jika inginkan warna yang lebih menarik, anda boleh tambahkan sedikit pewarna kuning.