resepi kuih keria gula melaka

Resepi Kuih Keria Gula Melaka yang Sedap dan Mudah

Bagaimanakah cara untuk menghasilkan resepi kuih keria gula melaka yang sedap dan mudah untuk disediakan? Jika anda berkunjung ke Melaka, keria gula melaka merupakan kuih paling popular dan wajib dibeli oleh pengunjung yang datang selain daripada asam pedas dan coconut shake.

Di Melaka, Keria Gula Melaka Antarabangsa Haji Jalil Limbongan merupakan keria gula melaka yang paling popular di Melaka. Dan, anda perlu beratur panjang untuk mendapatkannya. Anda juga boleh mencuba untuk membuat kuih keria gula melaka anda sendiri di rumah memandangkan cara penyediaannya juga begitu mudah. Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menghasilkan keria gula melaka yang sedap dan mudah.

Pengenalan

Keria gula melaka adalah sejenis kuih yang berbentuk bulat dan ada lubang di tengah seperti kuih donat tapi diperbuat daripada keledek dan disira dengan kuah gula melaka. Ia merupakan kuih manis yang sangat popular di Melaka dan kebiasaannya dihidangkan bersama sarapan pagi ataupun minum petang.

Lebih enak jika dimakan panas-panas. Terasa kerangupan kuih keria tersebut. Kuih ini menjadi semakin popular apabila sebuah kedai menjual kuih keria gula melaka menjadi viral sehingga ramai orang beratur panjang di kedainya iaitu Kedai Keria Gula Melaka Antarabangsa.

Oleh kerana sekarang ini musim PKP dan kita tak dapat ke Melaka untuk mendapatkan kuih keria gula melaka, jadi kita boleh mencubanya sendiri di rumah. Mari kita cuba resepi keria gula melaka seperti di bawah.

Masa Memasak: 60 minit

Jumlah Hidangan: 4-5 orang

Bahan-bahan untuk Resepi Kuih Keria Gula Melaka

  • 1 kg ubi keledek oren
  • 1 1/2 cawan tepung gandum
  • 2 sudu kecil soda bikarbonat
  • 2 sudu besar tepung beras
  • Sedikit garam
  • Minyak masak secukupnya

Cara-cara memasak Resepi Kuih Keria Gula Melaka

  1. Kupaskan ubi keledek dan potong anggaran saiz sederhana. Rebuskan ubi keledek sehingga empuk. Tambahkan sedikit garam ke dalam air rebusan. Apabila sudah empuk, toskan air rebusan tadi. Sejukkan ubi keledek seketika.
  2. Kemudian, lenyekkan ubi keledek menggunakan lesung batu yang telah dialas dengan plastik agar ubi keledek tidak melekat pada lesung batu sehingga lumat. Buangkan urat kasar pada ubi keledek.
  3. Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit sehingga doh tidak melekat pada tangan, tepung beras dan soda bikarbonat. Uli sehingga sebati.
  4. Bulatkan doh kuih keria, leperkan dan kemudian tebuk lubang di tengah doh membentuk seperti donat.
  5. Panaskan minyak kemudian gorengkan kuih keria sehingga masak keperangan.

Bahan-bahan masakan sira gula melaka

  • 1 sudu besar gula merah
  • 1 sudu besar gula batu
  • 1 sudu besar gula pasir
  • 2 ketul gula melaka
  • 1 cawan air

Cara-cara memasak sira gula melaka

  1. Masukkan gula pasir, gula batu, gula merah, gula melaka dan air ke dalam kuali.
  2. Masakkan sehingga menggelegak.
  3. Kemudian, masukkan kuih keria yang telah digoreng tadi dan gaul seketika sehingga kuih disaluti sira gula melaka.
  4. Selamat mencuba.

Tips berguna:

  • Anggarakan adunan tidak terlalu melekat pada tangan dan jangan berterusan menambah tepung jika doh melekat pada tangan semasa membentuk doh. Sapukan sedikit minyak pada tangan untuk mengelakkan doh melekat pada tangan semasa proses membentuk doh.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

six + 2 =