resepi pais patin tempoyak

Resepi Pais Patin Tempoyak Menggoda

Bagaimanakah cara untuk membuat resepi pais patin tempoyak yang sedap? Ikan patin merupakan menu yang sering digandingkan bersama tempoyak. Ini kerana, dengan rasa tempoyak yang masam manis dapat mengurangkan rasa hanyir ikan sungai. Masakan pais patin tempoyak sesuai dimakan bersama nasi putih dan boleh dihidangkan untuk makan tengahari atau makan malam.

Pengenalan

Terdapat dua jenis hidangan patin yang menggunakan bahan tempoyak iaitu pais patin tempoyak dan patin masak lemak tempoyak. Hidangan ini berasal daripada negeri Pahang terutamanya di daerah Temerloh yang kaya dengan ikan patin. Berbeza dengan patin masak lemak tempoyak, pais patin tempoyak menggunakan kaedah bakar yang mana ikan patin dibalut bersama dengan pes tempoyak yang dicampur dengan bahan-bahan lain.

Cara untuk memasak pais patin tempoyak adalah amat mudah. Hanya beberapa bahan sahaja diperlukan untuk membuatnya. Mari kita cuba buat resepi pais patin tempoyak yang lazat dan enak ini di rumah.

resepi pais patin tempoyak

Bahan-Bahan Untuk Resepi Pais Patin Tempoyak

  • 1 ekor ikan patin (dipotong-potong kepada beberapa bahagian)
  • 2 senduk tempoyak
  • 1 kunyit hidup bersaiz ibu jari
  • Segenggam cili padi merah (boleh ubah ikut kepedasan yang diingini)
  • 1 kuntum bunga kantan
  • Beberapa helai daun kesum
  • 3 helai daun kunyit
  • 1 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil gula

Cara-Cara Memasak Resepi Pais Patin Tempoyak

  1. Mula-mula, bersihkan ikan. Lumur dengan asam jawa dan bilas. Toskan ikan.
  2. Kisar kasar cili padi dan kunyit.
  3. Kemudian masukkan bahan kisar ke dalam tempoyak. Gaul rata.
  4. Selepas itu masukkan daun kesum, bunga kantan dan 1 helai daun kunyi yang dihiris nipis ke dalam campuran tempoyak.
  5. Perasakan tempoyak dengan garam dan gula.
  6. Kemudian salut ikan patin dengan campuran tempoyak tersebut.
  7. Sediakan pembalut aluminium, lapikkan daun kunyit di atasnya. Letakkan ikan bersama campuran tempoyak. Balut ikan dan bakar pada suhu 170C selama 40 minit dengan api atas bawah (boleh laras ikut oven masing-masing).

Tips Masakan

  • Jika tempoyak sudah manis, tidak perlu tambahkan gula.
  • Biarkan balutan terbuka sedikit semasa bakar ikan supaya pais tidak berair. Pais yang likat lebih sedap.
  • Boleh juga gantikan ikan patin dengan ikan lain seperti siakap dan ikan merah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

17 + 1 =