Resepi sambal udang petai

Resepi Sambal Udang Petai Yang Mudah

Bagaimanakah cara untuk membuat resepi sambal udang petai yang sangat sedap dan mudah? Sambal udang sememangnya sering digandingkan dengan petai. Hidangan ini boleh dimakan bersama nasi putih, bihun goreng atau lempeng.

Pengenalan

Petai adalah sejenis tumbuhan yang disebut Parkia Speciosa dalam bahasa saintifiknya. Petai yang merupakan isi kacang berwarna hijau terang dan berbau sedikit kurang menyenangkan tetap menjadi kegemaran ramai sama ada dicampurkan dalam masakan atau dibuat sebagai ulam.

Sambal udang sangatlah sedap jika dimakan bersama petai. Walaupun cara memasaknya amat mudah, kesedapan sambal udang petai menjadikan anda tak jemu untuk menikmatinya. Mari kita cuba membuat resepi sambal udang petai yang menyelerakan ini di rumah.

Resepi sambal udang petai

Masa penyediaan: 15 minit

Bilangan penyediaan: 4 orang

Bahan untuk Resepi Sambal Udang Petai

Bahan Asas

  • Udang setengah kilo
  • Segenggam biji petai (ikut kuantiti yang diingini)
  • 1 biji bawang besar yang dihiris bulat
  • 1 sudu kecil pes asam jawa
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Garam
  • Gula melaka 2 sudu besar
  • Minyak secukupnya

Bahan-bahan yang perlu dikisar

  • 4 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  •  1 biji bawang besar
  • 20 tangkai cili kering (mengikut kepedasan masing-masing)

Cara Memasak Resepi Sambal Udang Petai

  1. Bersihkan udang. Potong kepala dan ekor. Tak perlu kopek kulit. Gaulkan dengan sedikit serbuk kunyit dan garam. Goreng seketika hingga berwarna merah. Tak perlu goreng sampai betul-batul masak.
  2. Kisar bahan-bahan kisar. Pastikan cili kering telah direbus dan dibuang biji terlebih dahulu.
  3. Panaskan minyak dalam kuali. Boleh gunakan bekas minyak goreng udang tadi. Kemudian tumiskan bahan kisar sehingga naik bau.
  4. Kemudian masukkan gula melaka. Gaulkan. Tumis sehingga sambal pecah minyak dan sambal menjadi gelap sedikit.
  5. Kemudian masukkan pes asam jawa dan kacau rata.
  6. Selepas itu, masukkan udang yang telah digoreng tadi bersama petai. Kacau rata hingga sebati. Perlahankan sedikit api.
  7. Setelah sambal mereneh, tambahkan garam dan bawang besar.
  8. Kacau sehingga semua sebati sehingga bawang layu. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

Tips:

  • Udang digoreng terlebih dahulu supaya tak mudah kecut semasa dimasukkan ke dalam sambal.
  • Boleh juga goreng biji petai terlebih dahulu supaya petai sedikit rangup.
  • Untuk lebih pedas, anda boleh gunakan cili kering jenis pedas.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 × four =