Bagaimanakah cara untuk membuat resepi pengat labu yang sedap? Antara nama lain selain pengat adalah serawa atau bubur. Pengat merupakan hidangan pencuci mulut tradisi zaman berzaman bagi kaum melayu. Terdapat pelbagai jenis pengat antaranya pengat pisang, pengat nangka, pengat keledek dan pengat labu.
Pengenalan
Pengat labu adalah merupakan hidangan manisan yang mengandungi labu beserta kuah lemak santan yang dicampur bersama gula melaka. Tekstur labu yang empuk dan rasa yang sedikit manis amat sesuai untuk dijadikan pengat yang dilengkapi dengan campuran kuah santan dan gula melaka. Hidangan ini sesuai dihidangkan panas. Namun, ada juga yang menghidangkannya sejuk. Pemilihan labu juga harusnya yang agak masak supaya rasa manis labu itu menjadikan pengat bertambah sedap dan berlemak.
Pada kali ini, penulis akan berkongsi dengan anda tentang resepi pengat labu. Bahan-bahan yang diperlukan adalah ringkas dan cara memasaknya pun mudah. Jadi, mari kita mencuba untuk membuat resepi ini sendiri di rumah. Selamat mencuba!
Bahan-Bahan Untuk Resepi Pengat Labu
- 1/2 biji labu dipotong baji
- 3 cawan santan pekat
- 2 cawan santan cair
- Satu helai daun pandan disimpulkan dan carik
- 1 ketul gula melaka (keping)
- 1 sudu besar gula putih (ikut citarasa, tambah lagi jika hendak lebih manis)
- Sedikit garam
Cara-Cara Untuk Memasak Resepi Pengat Labu
- Kupas kulit labu dan bersihkan serta potongkan labu.
- Masukkan isi labu berserta daun pandan, santan cair, gula pasir dan gula melaka ke dalam periuk. Masak dengan api sederhana. Tutup periuk dan masak sehingga labu menjadi empuk. Jangan terlebih masak sehingga labu hancur (tekstur labu mudah hancur).
- Kemudian, setelah labu masak, masukkan santan pekat dan garam sedikit untuk secukup rasa.
- Masak di atas api perlahan sehingga kuah mereneh. Masak sambil mengacau kuah dengan perlahan-lahan supaya tidak menghancurkan isi labu.
- Apabila kuah sudah pekat dan sebati, tutup api dan siap untuk dihidangkan.
Tips Berguna:
- Boleh tambahkan sedikit biji sagu putih mengikut citarasa.
- Jangan mengacau kuah terlalu laju untuk mengelakkan isi labu menjadi hancur.
- Jangan potong labu terlalu kecil kerana isi labu mudah hancur. Tidak mengapa potong tebal-tebal.
- Boleh gunakan santan kotak jika tiada santan segar.