resepi popia basah

Resepi Popia Basah Yang Menyelerakan

Bagaimanakah cara untuk membuat resepi popia basah yang sedap dan menyelerakan? Terdapat pelbagai jenis kuih popia antaranya seperti popia goreng, popia sira pedas, popia karbonara dan popia basah. Popia basah selalunya dijadikan kuih untuk hidangan minum pagi atau petang.

Pengenalan

Popia basah tidaklah rangup seperti popia goreng. Ia mempunyai kulit yang lembut dan nipis. Namun begitu, yang menarik minat ramai adalah intinya yang sedap dan berkuah sos. Pembuatan popia basah agak sedikit rumit berbanding popia goreng. Ini kerana kulitnya perlu dicanai sendiri dan dipastikan nipis supaya mudah untuk menggulung inti di dalamnya. Walaubagaimana pun, dengan menyediakan popia basah sendiri, anda pasti berpuas hati apabila menikmati hidangan kuih yang sedap ini.

Bahan-Bahan Untuk Resepi Popia Basah

Bahan Kulit Popia

  • 2 cawan tepung gandum
  • 3/4 cawan air
  • 1 biji telur ambil putihnya
  • 2 sudu besar cuka
  • secubit garam

Bahan Isi Inti Popia

  • 1 biji bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 1/2 biji kobis bulat diracik halus
  • 3 batang carrot/lobak merah disagat halus
  • 1 sudu besar udang kering
  • 1 sudu besar sos tiram
  • garam
  • minyak

Bahan Kuah Sos

  • 1 biji bawang besar
  • 5 ulas bawang putih
  • 15 tangkai cili kering
  • 1 sudu besar gula perang
  • 2 sudu besar kicap manis
  • Garam
  • Sedikit perasa
  • Minyak
  • Bawang goreng
  • Kacang kisar – jika suka

Cara-Cara Untuk Membuat Resepi Popia Basah

Kulit Popia

  1. Campurkan kesemua bahan-bahan dan gaulkan hingga menjadi adunan. Tutup adunan dan biarkan dalam 30 minit.
  2. Kacau sedikit adunan. Ambil sedikit adunan dan lenserkan atas kuali leper yang telah dipanaskan. Ratakan mulai dari tepi dahulu dengan gerak mengikut arah jam, kemudian sambung ratakan bagi bahagian tengah untuk menutup bulatan. Pastikan diratakan dengan nipis dan tidak tebal.
  3. Setelah masak, letakkan dalam pinggan dan boleh disusun berlapis-lapis.

Isi Inti Popia

  1. Blend bawang besar, bawang putih dan udang kering. Setelah itu, tumiskan kesemuanya sehingga sedikit garing.
  2. Selepas itu, masukkan sos tiram dan secubit garam. Kacau rata.
  3. Kemudian, perlahankan api, masukkan sayuran yang telah dipotong halus dan masak sehingga sedikit layu. Tutup api.

Kuah Sos

  1. Blend bawang besar, bawang putih dan cili kering. Kemudian tumiskan kesemua bahan-bahan ini.
  2. Selepas itu, masukkan kicap, gula perang, garam dan perasa secukupnya. Boleh tambah sedikit air jika terlalu kering.

Penyediaan Popia Basah

  1. Letakkan sekeping kulit popia di atas permukaan yang rata.
  2. Sapukan sedikit kuah sos di atas kulit popia.
  3. Letakkan satu sudu besar isi inti popia. Kemudian taburkan sedikit bawang goreng.
  4. Lipatkan dan gulung popia. Sedia untuk dihidangkan.

Tips Berguna:

  • Boleh curahkan kuah sos atas hidangan popia mengikut citarasa anda.
  • Boleh juga tambahkan tauhu goreng dan kacang kisar dalam inti popia jika suka.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

6 + 18 =