Bagaimanakah cara untuk membuat resepi sambal belacan yang sedap? Sambal belacan merupakan hidangan sampingan ketika menikmati juadah nasi putih bersama lauk pauk. Ia juga menjadi penarik selera yang boleh membuatkan ramai orang menambah lagi nasi setelah habis sepinggan. Bahkan ada juga yang hanya makan nasi putih dengan sambal belacan dengan cara menggaul semua dengan jari jemari. Walaupun pedas, namun ia tetap membuatkan seseorang ingin menambah nasi berkali-kali.
Pengenalan
Sambal belacan merupakan hidangan sampingan untuk menarik selera semasa menikmati juadah. Jika di kampung, sambal belacan merupakan sesuatu yang penting apabila nasi putih dan lauk pauk disediakan. Ia juga dilengkapi dengan pelbagai jenis ulam-ulaman seperti ulam raja, pucuk janggus, daun pegaga, mentimun dan sebagainya.
Sambal belacan punyai daya tarikan yang terletak pada kandungan belacan di dalamnya. Oleh kerana itu, penggunaan belacan yang segar adalah amat penting untuk menghasilkan sambal belacan yang sedap. Selain itu, rasa masam, manis dan pedas juga perlu ada dalam menyediakan sambal belacan. Pada kali ini penulis akan berkongsi dengan anda berkenaan teknik-teknik untuk membuat sambal belacan yang sedap. Mari kita cuba buat resepi yang mudah ini.
Bahan-Bahan Untuk Resepi Sambal Belacan
- 10 batang cili hijau
- 10 batang cili merah
- 20 batang cili padi
- 3 biji bawang merah
- 4 inci belacan (dibakar)
- 1 genggam ikan bilis (digoreng)
- 10 biji limau kasturi (diambil airnya)
- 2 sudu kecil pes asam jawa
- 2 sudu besar gula (boleh adjust ikut selera)
- 1 sudu kecil garam
Cara-Cara Untuk Membuat Resepi Sambal Belacan
- Basuh cili, toskan. Potong cili yang besar. Ketepikan.
- Bakar belacan yang dipotong. Bakar atas api dapur. Pastikan sekata pada semua permukaan belacan. Ketepikan.
- Panaskan minyak. Gorengkan ikan bilis sehingga garing. Ketepikan.
- Campurkan cili-cili, bawang yang dihiris, belacan yang dibakar, ikan bilis goreng, pes asam jawa, gula, garam dan sedikit air masak ke dalam blender. Kisar kesemuanya sehingga halus dan sebati.
- Kemudian tuangkan ke dalam mangkuk. Masukkan air limau kasturi yang diperah dan gaul rata kesemuanya.
- Siap untuk dihidangkan.
Tips Masakan:
- Gunakan belacan yang segar (baru) dan ikan bilis yang segar untuk mendapatkan sambal yang sedap.
- Boleh juga gantikan limau kasturi dengan limau nipis.
- Simpan sambal dalam peti sejuk jika ada lebihan.
- Boleh gunakan sambal untuk masak nasi goreng atau kangkung goreng belacan (hanya perlu tumiskan sambal).
- Boleh gunakan cili api merah atau cili padi untuk menambah kepedasan.