Resepi soto

Resepi Soto Yang Memikat Selera

Bagaimanakah cara untuk membuat resepi soto ayam yang sedap? Soto ayam merupakan hidangan yang digemari ramai dan sering menjadi pilihan untuk menu semasa jamuan atau hari raya. Selain itu, hidangan ini juga menjadi pilihan kerana ia boleh dinikmati oleh golongan dewasa atau kanak-kanak.

Pengenalan

Soto merupakan hidangan yang berasal daripada kaum Jawa. Malaysia, Indonesia dan Singapura mempunyai resepi soto tersendiri dan unik. Tarikan utama yang menjadikan soto sesuatu masakan yang istimewa adalah dengan gabungan sup ayam yang lazat, ditambah pula dengan isi ayam yang diracik, begedil, bawang goreng, daun sup, kacang tanah, suhun goreng dan paling penting sambal kicapnya yang mantap. Hidangan ini sering disajikan bersama dengan nasi impit selain mee atau bihun.

Bahan-bahan penyediaannya juga mudah didapati dan tidak rumit untuk disediakan. Apa lagi, jom kita pelajari cara untuk menyediakan resepi soto ayam yang enak ini.

Resepi soto

Masa Memasak: 45-60 minit

Jumlah hidangan: 10 orang

Bahan-Bahan Untuk Resepi Soto

Bahan untuk kuah soto

  • Seekor ayam (dipotong kecil-kecil untuk bahagian bertulang, untuk bahagian isi dada biarkan seketul besar)
  • 1 jug air
  • minyak masak untuk menumis
  • Daun sup

Bahan-bahan tumis kuah soto

  • 3 biji bunga lawang
  • 1 batang kayu manis
  • 4 kuntum cengkih
  • 4 biji buah pelaga
  • Satu sudu besar jintan manis
  • Satu sudu besar jintan putih
  • 1 sudu besar serbuk lada putih
  • 1 inci halia (dihiris)
  • 1 biji bawang besar (dihiris)
  • 3 batang serai dititik
  • 4 sudu besar serbuk rempah sup atau soto

Bahan untuk dikisar halus

  • 6 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 inci kunyit hidup
  • 2 biji buah keras

Sampingan lain untuk dihidangkan bersama soto ayam

  • 5 bungkus nasi impit bersaiz besar (boleh tambah mee atau bihun)
  • taugeh
  • bawang goreng
  • suhun goreng
  • isi ayam goreng
  • daun sup
  • daun bawang
  • cili merah
  • Limau nipis/ limau kasturi
  • kacang tanah
  • begedil
  • Kuah kicap bercili

Bahan untuk kuah kicap bercili

  • 1/2 cawan kicap manis
  • 10-15 biji cili padi
  • 5 ulas bawang putih
  • 2 biji bawang merah
  • Sedikit garam (jika perlu)

Bahan untuk begedil

  • 6 biji kentang
  • 1 biji bawang besar (dicincang kecil)
  • 1 sudu kecil serbuk lada putih
  • 1 sudu besar bawang goreng
  • sedikit garam
  • sedikit daun sup dihiris kecil
  • 3 biji telur
  • minyak secukupnya

Cara-cara Memasak Resepi Soto

Cara Penyediaan Sup Soto

  1. Masukkan minyak didalam periuk dan panaskan.
  2. Masukkan bahan tumisan. Tumiskan sehingga naik bau.
  3. Setelah bawang layu dan kekuningan, masukkan bahan kisar dan kacau.
  4. Masukkan pula rempah sup atau soto dan kacau sehingga rempah menjadi garing dan pecah minyak.
  5. Masuk ayam dan kacau supaya ayam dan rempah sebati. Goreng ayam sehingga warna sedikit kekuningan.
  6. Selepas itu, masukkan air dan kacau perlahan-lahan dengan api sederhana.
  7. Masak sehingga sup mendidih dan sehingga ayam menjadi empuk.
  8. Selepas itu, masukkan beberapa tangkai daun sup (ramas-ramas sedikit). Kemudian masukkan sedikit gula dan garam secukup rasa. Kacau dan biarkan mereneh dan tutup api.

Bahan-bahan sampingan resepi Soto

  1. Keluarkan ketulan isi dada ayam dari sup dan gorengkan sehingga keperangan. Sejukkan ayam dan carik isi ayam.
  2. Rebuskan nasi impit sehingga masak. Biarkan sejuk dan potong pada 4 ketulan pada setiap nasi impit. (Jika guna pressure cooker: masukkan air melebihi paras nasi impit, setting rice dan masak selama 30 minit)
  3. Bersihkan tauge dan buang bahagian hitam. Toskan.
  4. Hiris kecil daun sup dan cili merah.
  5. Goreng kacang tanah sehingga bertukar warna coklat.

Cara menyediakan kuah kicap bercili

  1. Panaskan minyak dan goreng cili padi, bawang putih dan bawang merah sehingga lembut. Angkat dan biarkan sejuk seketika.
  2. Kisar cili dan bawang yang sudah digoreng bersama 1 sudu gula putih sehingga hancur.
  3. Kemudian campurkan bersama kicap manis.

Cara menyediakan begedil

  • Kupas kulit kentang dan potong dadu besar.
  • Gorengkan kentang sehingga garing dan empuk dan sejukkan.
  • Selepas itu lenyekkan kentang.
  • Kemudian, masukkan 1 biji telur, garam, serbuk lada putih, bawang besar, bawang goreng dan daun sup. Kacau rata sehingga sebati dan bentukan bulat leper.
  • Dalam mangkuk lain pecahkan 2 biji telur dan pukul hingga kembang bersama sedikit garam dan lada putih.
  • Panaskan minyak (tidak perlu banyak, anggaran takat separuh saiz begedil, nanti goreng balik-balikkan).
  • Celupkkan begedil dalam telur yang dipukul dan goreng sehingga sedikit coklat. Api sederhana.

Tips Masakan:

  • Gunakan cili padi untuk penyediaan cili kicap untuk menambah kepedasan
  • Ayam dipotong kecil-kecil untuk rasa lebih manis dan kuah yang lazat kerana bahagian bertulang buatkan kuah lebih sedap.
  • Boleh gantikan rempah 5 sekawan dengan 1 bungkus sup bunjut.
  • Semasa masak begedil biarkan lama sedikit bagedil kemudian baru balikkan ia. Buat perlahan-lahan supaya tidak mudah hancur. Saiz begedil juga tidak perlu terlalu besar.
  • Boleh juga gantikan nasi impit dengan mee kuning atau bihun.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × 5 =