resepi sup ketam

Resepi Sup Ketam Simple Tapi Sedap

Bagaimanakah cara untuk membuat resepi sup ketam yang sedap? Sup ketam merupakan hidangan yang mudah dan ringkas untuk dimasak. Menu ini juga sering dibuat sebagai ‘ubat’ bagi mereka yang sedang demam atau kurang sihat. Namun begitu, sup ketam juga sesuai jika anda ingin menukar selera dengan menikmati hidangan jenis sederhana tanpa banyak rempah ratus.

Pengenalan

Hidangan sup ketam merupakan hidangan yang mudah untuk disediakan. Walaupun ringkas, hidangan ini dapat memikat selera bagi mereka yang menikmatinya. Rasa manis air daripada isi ketam membuatkan kuah sup menjadi sedap dan lazat. Selain menikmatinya bersama nasi putih, sup ketam juga boleh dihirup begitu sahaja atau boleh juga dimakan bersama bubur nasi.

Pada kali ini, penulis akan berkongsi dengan anda resepi sup ketam yang simple tapi sedap. Mari kita cuba membuat masakan ini di rumah.

Bahan-Bahan Untuk Resepi Sup Ketam

  • 1 kg ketam
  • 3 biji bawang merah (dihiris)
  • 5 ulas bawang putih (dihiris)
  • 1 inci halia (dihiris)
  • 1 sudu besar lada hitam (ditumbuk)
  • 2 batang serai (dititik)
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 2 biji buah pelaga
  • 5 tangkai cili api (dibelah tengah)- jika tak mahu pedas tak perlu letak
  • 1 biji limau nipis (diambil airnya)
  • Daun bawang
  • Bawang goreng
  • Garam secukupnya
  • Sedikit gula (optional)
  • air secukupnya
  • minyak untuk menumis

Cara-Cara Untuk Memasak Resepi Sup Ketam

  1. Tumiskan bawang merah, bawang putih dan halia sehingga naik bau. Kemudian, masukkan kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan lada hitam. Kacau sehingga sedikit garing.
  2. Selepas itu, masukkan ketam dan serai. Kemudian, masukkan air sehingga melepasi paras ketam. Perlahankan api, biarkan kuah mereneh.
  3. Setelah ketam masak, masukkan cili api, garam dan sedikit gula. Pastikan cukup rasa.
  4. Akhir sekali, perahkan air limau nipis dan tutup api.
  5. Taburkan bawang goreng dan daun bawang. Siap untuk dihidangkan.

Tips Masakan:

  • Boleh gantikan limau nipis dengan lemon.
  • Boleh juga goreng bawang merah dan curahkan ke atas sup ketam setelah masak untuk rasa dan aroma lebih sedap.
  • Ketuk sedikit kulit ketam dengan lesung supaya air isi ketam dapat meresap ke dalam sup dan menjadikan sup lebih terasa manis.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 + 13 =