Stew dan sup hampir sama cara penyediaan dan memasak. Perbezaannya adalah dari segi tekstur. Sup mempunyai tekstur yang lebih cair manakala stew mempunyai tekstur yang lebih pekat dan likat. Stew ialah sejenis masakan yang direnehkan dan terdiri daripada daging pejal yang dimasak bersama kentang, lobak merah, batang saderi yang dipotong dadu secara kasar. Kalau berdasarkan resepi asal, stew perlu dimasak selama 5 sehingga 6 jam lamanya. Tetapi, pada masa kini waktu yang diambil untuk memasak stew menjadi lebih singkat dengan adanya periuk tekanan. Masakan stew ini sangat enak dihidangkan bersama roti putih, pasta mahupun nasi putih panas. Cara penyediaannya juga amat mudah kerana tidak memerlukan bahan yang banyak. Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk memasak resepi stew daging yang enak dan mudah.
Pengenalan
Stew daging ini sangat empuk dan tidak pedas. Jadi, tidak hairanlah jika menu ini juga menjadi masakan pilihan kanak-kanak dan boleh dimakan oleh seisi keluarga. Stew daging sesuai juga dimakan sebagai minum petang dan dimakan bersama roti putih dan stew daging yang tengah panas. Oleh itu, saya akan kongsikan resepi stew daging seperti di bawah.
Masa Memasak: 1 jam 30 minit
Jumlah Hidangan: 5-6 orang
Bahan-bahan Stew Daging yang Sedap dan Simple
- Minyak masak secukupnya
- Sedikit tepung gandum
- 1/2 kg daging (Potong dadu dan bersihkan)
- 1 labu bawang besar (dihiris)
- 1 batang lobak merah (dipotong dadu)
- 1 batang saderi (dipotong)
- Beberapa batang kacang buncis
- 1 helai daun salam
- 6 sudu besar serbuk brown sauce
- 1 sudu kecil serbuk lada hitam
- 1 kiub daging
- 1 liter air masak
- Garam secukup rasa
- 1 biji kentang (dipotong dadu)
Cara- cara menyediakan Resepi Stew Daging
1. Gaulkan daging yang telah dipotong dan dibasuh bersih bersama tepung gandum. Di dalam periuk, masukkan minyak masak secukupnya dalam anggaran 1 senduk. Masukkan daging yang telah dipotong dan dibersihkan. Gorengkan sekejap daging tersebut sehingga telah berubah warna. Kemudian, angkat dan toskan minyak.
2. Dalam minyak yang sama, tumiskan bawang besar, lobak merah dan batang saderi sehingga layu dan naik bau.
3. Selepas itu, masukkan brown sauce yang digaulkan bersama 1 liter air masak, daun salam dan kentang. Masak sehingga mendidih.
4. Kemudian, masukkan pula daging yang telah digoreng bersama perasa garam, kiub daging dan lada hitam. Kemudian, masukkan juga kacang buncis.
5. Kacaukan sehingga sebati. Dan renehkan seketika lebih kurang 1 jam sehingga mendidih dan kuah menjadi sedikit pekat atau sehingga daging menjadi empuk. Ubahsuai rasa mengikut citarasa anda.
6. Apabila stew daging sudah siap dimasak, bolehlah dihidangkan bersama nasi panas ataupun roti putih.
Selamat mencuba.