Resepi Agar-Agar Gula Melaka

Resepi Agar-agar Gula Melaka yang Sedap dan Simple

Agar-agar merupakan hidangan pencuci mulut yang manis dan tidak hairanlah jika ia menjadi pencuci mulut pilihan bagi semua peringkat umur tanpa mengira muda atau tua. Tambahan pula, pencuci mulut ini mempunyai pelbagai jenis rasa, warna dan perisa yang membuatkan ia lebih menarik dan sering menjadi pilihan pencuci mulut untuk majlis-majlis keramaian. Untuk artikel kali ini, saya akan berkongsi dengan anda resepi agar-agar gula melaka yang sedap dan mudah. Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menghasilkan agar-agar gula melaka yang sedap dan simple.

Pengenalan

Agar-agar gula melaka berwarna sedikit keperangan dan manis. Aroma gula melaka juga dapat memikat selera sesiapa sahaja yang memakannya. Ia juga sangat popular dalam kalangan peringkat orang-orang tua malahan ada juga segelintir orang muda yang menyukainya. Asas untuk menghasilkan agar-agar gula melaka ini hampir sama dengan agar-agar lain terutama sekali agar-agar santan pandan.

Yang membezakannya hanyalah bahan tambahan seperti gula melaka. Cara penyediaannya juga amat mudah. Jika ingin dihidangkan pada majlis keramaian, agar-agar ini perlu dibuat lebih awal iaitu sehari awal kerana ia mengambil masa untuk mengeras dan lebih sedap dihidangkan ketika sejuk. Oleh itu, saya akan kongsikan resepi agar-agar gula melaka seperti di bawah.

Masa Memasak: 60 minit

Jumlah Hidangan: 5-6 orang

Bahan-bahan Agar-agar Gula Melaka yang Sedap dan Simple

Bahan-bahan Agar-agar Gula Melaka

  • 1 cawan gula melaka (dihiris halus)
  • 2 sudu besar gula perang atau gula pasir putih (opsyenal)
  • 200 mL krim masak atau santan
  • Secubit garam
  • 1 1/4 liter air masak
  • 1 sudu kecil esen vanila
  • 1-2 helai daun pandan (disimpulkan)
  • 18 gram agar-agar bertali atau 1 paket serbuk agar-agar plain
  • 1 biji telur gred A

Cara- cara menyediakan Resepi agar-agar gula melaka

1. Di dalam periuk, masukkan gula melaka yang telah dihiris halus bersama gula perang atau gula pasir dan masukkan juga air. Masak dengan api yang sederhana sehingga larut. Kemudian, tapis dan ketepikan.

2. Di dalam bekas yang berasingan, masukkan santan atau krim masakan, garam dan telur. Pukul perlahan adunan sehingga semua sekata dan ketepikan.

3. Di dalam periuk, masak agar-agar bertali atau serbuk agar-agar sehingga larut. Kemudian, satukan sirap campuran gula melaka yang telah larut, esen vanila dan daun pandan sehingga mendidih.

4. Selepas itu, masukkan adunan santan dan garam yang telah dipukul sekata ke dalam periuk yang tengah mendidih sebentar tadi. Masak sehingga mendidih dan berbuih. Setelah itu, matikan api.

5. Tuangkan adunan ke dalam loyang petak ataupun bulat. Sejukkan seketika sehingga suhu bilik sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk dan biarkan ia mengeras. Apabila agar-agar sudah mengeras, bolehlah dipotong dan dihidangkan.

6. Selamat mencuba.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seventeen + 13 =