Resepi Asam Pedas Tetel Sedap Memukau

resepi asam pedas tetel

Bagaimanakah cara untuk membuat resepi asam pedas tetel yang sedap? Masakan asam pedas merupakan menu yang sering menjadi pilihan ramai untuk makan tengahari dan malam. Menu ini sesuai dihidangkan bersama nasi putih. Menu asam pedas juga boleh dibuat dengan menggunakan ikan pari, ikan kembung dan ayam. Namun, penggunaan bahan-bahan masakan adalah berbeza mengikut jenis lauk yang digunakan.

Pengenalan

Hidangan asam pedas adalah hidangan yang terkenal di negeri Melaka. Jika berkunjung ke Melaka, restoran-restoran asam pedas ini pasti penuh dengan pengunjung. Hidangan masakan asam pedas selalunya dijamah bersama nasi putih. Ada juga yang menikmatinya bersama dengan telur dadar dan ulam-ulaman.

Kesedapan kuah asam pedas yang menggabungkan rasa pedas, masam dan sedikit manis menjadikan ia lazat untuk dinikmati sehingga kuahnya pun dihirup. Selain itu, apa yang menjadikan menu asam pedas ini sedap adalah dengan adanya aroma belacan. Bagi peminat sambal, sudah tentu belacan adalah bahan yang menjadi penyedap yang membangkitkan selera. Menu asam pedas tetel menjadi kegemaran bagi mereka yang suka daging berlemak. Rasa lemak daging bersama kuah asam pedas pasti membangkitkan selera seisi keluarga. Mari kita lihat cara-cara untuk memasak resepi asam pedas tetel yang lazat ini.

Bahan – Bahan Untuk Resepi Asam Pedas Tetel

Saiz hidangan: 5 orang

  • 1 kg daging tetel
  • Cili kering (dalam 20 tangkai cili kering) *
  • 2 biji bawang besar *
  • 5 ulas bawang putih *
  • 1 inci halia*
  • 1 inci lengkuas *
  • 1 inci kunyit hidup *
  • 1 inci belacan *
  • 1 sudu kecil lada hitam *
  • 1 sudu kecil jintan manis*
  • 1 sudu kecil jintan putih*
  • 1 mangkuk air asam jawa
  • 3 sudu air gula melaka
  • Garam secukupnya
  • Daun limau purut (buang urat tengah)
  • 3 batang serai dititik

Cara – Cara Memasak Resepi Asam Pedas Tetel

  1. Rendamkan cili kering, jintan & lada hitam dalam air panas selama 15 minit.
  2. Kisarkan semua bahan-bahan yang bertanda * sehingga halus. Ketepikan.
  3. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang dikisar dan serai sehingga garing dan pecah minyak.
  4. Kemudian, masukkan daging tetel, gaul rata dan masak sampai keluar air daging.
  5. Masukkan air asam jawa dan daun limau purut. Gaulkan rata, masukkan sedikit air lagi jika kuah terlalu kering.
  6. Masukkan garam dan air gula melaka. Biarkan mereneh sebentar sehingga daging tetel menjadi empuk.

Tips Masakan:

  • Anda boleh merebus daging tetel dahulu sebelum memasukkannya ke dalam masakan asam pedas. Simpan kuah rebusan untuk dicampur bersama dalam masakan asam pedas.
  • Boleh juga masukkan kentang dalam masakan asam pedas.

Recommended Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

five × 2 =