Resepi ayam masak kicap

Resepi Ayam Masak Kicap yang Sedap

Bagaimanakah cara untuk memasak resepi ayam masak kicap yang sedap? Ayam masak kicap merupakan hidangan yang mudah dan ringkas untuk disediakan. Masakan ini juga sering menjadi pilihan mereka yang berkeluarga kerana disamping rasanya yang enak, ia juga diminati oleh kanak-kanak.

Pengenalan

Resepi ayam masak kicap ini mudah disediakan dan sedap rasanya. Semestinya ramai yang menggemari ayam masak kicap dengan pelbagai cara masakannya. Ada yang suka pedas dengan menambah cili padi, ada juga yang memilih tidak pedas supaya dapat dinikmati oleh kanak-kanak.

Apa yang penting kuah masak kicap itu mestilah mempunyai warna yang pekat, lemak, manis dan mempunyai sedikit rasa pedas. Selain itu, sajian ayam masak kicap ini juga boleh disediakan pada hari jamuan atau kenduri.

Bahan-bahan untuk resepi ayam masak kicap adalah mudah untuk didapati. Anda boleh mencuba untuk memasak hidangan ini di rumah untuk seisi keluarga.

Masa penyediaan: 15 – 20 minit

Jumlah Hidangan: 4 orang

Bahan-bahan Resepi Ayam Masak Kicap

Bahan Asas

  • 6 ketul ayam
  • Serbuk kunyit secukupnya
  • 2 batang serai dititik
  • 2 tangkai daun kari
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 3 sudu kicap pekat
  • 2 tangkai cili kering dipotong (jika mahu lebih pedas)
  • 1 sudu kecil pes asam jawa
  • Bawang merah yang telah dihiris bulat
  • Tomato dibelah empat
  • Garam jika perlu
  • Minyak masak secukupnya

Bahan-Bahan yang perlu dikisar halus atau tumbuk

  • 2 ulas bawang putih
  • 4 ulas bawang merah
  • 1 inci halia
  • 3 batang cili padi

Cara Penyediaan Resepi Ayam Masak Kicap

  1. Mula-mula, bersihkan ketulan ayam dan toskan. Gaul ayam dengan serbuk kunyit dan sedikit garam serta gorengkan ayam.
  2. Sediakan bancuhan kuah kicap dalam mangkuk dengan mencampurkan kicap pekat, sos tiram, pes asam jawa dan setengah cawan air. Kacau rata hingga sebati. Ketepikan.
  3. Kemudian, ambil 4 sudu besar minyak goreng ayam tadi dan masukkan ke dalam kuali lain. Panaskan dan tumis bahan kisar, serai, tomato, cili kering dan daun kari sehingga naik bau dan tomato jadi layu.
  4. Selepas itu, masukkan kuah kicap yang dibancuh tadi. Kacau rata. Jika terlalu kering, boleh tambah sedikit air. Biarkan kuah mereneh, pekat dan pecah minyak. Masukkan garam jika perlu.
  5. Kemudian, perlahankan api dan masukkan ayam yang telah digoreng tadi serta kacau rata.
  6. Akhir sekali, masukkan bawang besar yang dihiris bulat. Kacau perlahan-lahan sehingga bawang layu dan tutup api. Siap untuk dihidangkan.

Tips:

  • Boleh juga untuk lebihkan sedikit minyak goreng ayam sewaktu tumisan kerana ayam masak kicap yang sedap adalah yang mempunyai kuah yang pekat berminyak.
  • Jika ingin rasa sedikit berempah, boleh tambahkan 2 bunga lawang dan 1 batang kayu manis semasa menumis.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

8 − 7 =