Resepi laksa utara

Resepi Laksa Utara Sedap Pasti Menjadi

Bagaimanakah cara untuk membuat resepi laksa utara yang sedap? Untuk artikel kali ini, saya akan berkongsi dengan anda tentang satu resepi yang sangat popular di utara malahan juga menjadi kesukaan ramai di negeri-negeri lain. Menu ini adalah laksa utara atau dipanggil laksa ‘utagha’. Menu ini juga sering dihidangkan pada waktu petang. Jika digandingkan bersama air ABC atau cendol, pasti ia menjadi lebih mantop!  

Pengenalan

Laksa utara sangat sedap dan mempunyai rasa masam yang datang dari asam keping, asam jawa dan perahan limau nipis, selain ada rasa pedas yang ngam dengan kuah yang penuh dengan isi ikan. Laksa utara juga sedikit berbeza berbanding laksa-laksa yang lain dari segi bahan-bahannya.

Pembuatan laksa utara mungkin agak sedikit rumit. Namun dengan sedikit rumit ini tetap memberikan kepuasan sewaktu menikmatinya. Bagi mereka yang menjamah menu ini, sudah tentu tidak cukup dengan hanya satu kali makan! Jom kita cuba buat resepi istimewa ini di rumah.

Resepi laksa utara

Masa Memasak: 60 minit

Jumlah Hidangan: 5-6 orang

Bahan-Bahan Untuk Resepi Laksa Utara

  • 1 kg ikan kembung atau ikan selar atau ikan selayang (direbus terlebih dahulu bersama tiga keping asam keping) simpan air rebusan
  • 10 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 batang cili merah besar
  • 1 kuntum bunga kantan dibelah dua
  • 1 inci belacan
  • 10 batang cili kering dibuang biji dan direbus
  • 4 keping asam keping
  • 1 tin kecil sardin
  • Separuh biji nenas kisar halus
  • 1 sudu besar pes asam jawa
  • 1 sudu besar otak udang (jika ada)
  • 2 mangkuk air masak
  • 5 tangkai daun kesum (ambil daun sahaja)
  • Garam secukup rasa

Bahan untuk dihidangkan bersama

  • 5-6 biji telur (direbus sampai masak, dikupas kulit dan dibelah 2)
  • 1 batang timun (dihiris memanjang secara nipis)
  • 1 biji bawang besar (dihiris nipis)
  • 5 biji limau nipis (dipotong)
  • 5-6 tangkai cili padi (dihiris)
  • 1 kuntum bunga kantan (dihiris)
  • Lebihan nenas (dipotong)
  • Salad (dipotong)
  • 1 bungkus laksa beras (direndam 1jam dan direbus sehingga lembut dan toskan)

Cara- Cara Menyediakan Resepi Laksa Utara

Untuk Kuah Laksa:

  1. Pertama sekali, rebuskan ikan yang telah disiang dalam periuk yang berisi air, sedikit garam dan 3 keping asam keping. Rebus sehingga masak. Angkat dan toskan. Asingkan isi dan tulang. Kisarkan isi ikan bersama air rebusan ikan. Kemudian masukkan ke dalam periuk lain untuk masak kuah laksa.
  2. Kemudian, kisarkan tulang ikan pula untuk mendapatkan rasa manis dari air tulang ikan. Kisarkan bersama sedikit air rebusan ikan tadi. Tapiskan tulang ikan yang telah dikisar. Masukkan airnya ke dalam periuk.
  3. Selepas itu, hidupkan api perlahan dan kacau rata semuanya.
  4. Sementara itu, kisarkan bawang merah, bawang putih, cili kering dan belacan bersama sedikit air rebusan ikan sehingga lumat. Masukkan bahan kisar tersebut ke dalam kuah laksa.
  5. Kemudian, kisar pula sardin bersama sedikit air. Masukkan ia ke dalam periuk dan kacau rata.
  6. Selepas itu, kisar isi nenas bersama pes asam jawa beserta sedikit air, tapiskan dan masukkan jusnya ke dalam periuk. Kacau rata semuanya dengan api sederhana.
  7. Setelah kuah laksa mereneh dalam 15 minit, masukkan daun kesum dan bunga kantan. Kacau rata, masak sehingga bunga kantan dan daun kesum layu. Jika kuah terlalu pekat boleh tambahkan lagi air. Jika masih ada lagi air rebusan ikan boleh masukkan.
  8. Setelah itu, masukkan garam dan otak udang (jika ada). Kacau rata, pastikan kuah cukup rasa. Perlu lebihkan sedikit garam jika kuah masih tawar. Lepas dah cukup rasa boleh tutup api. Kacau dahulu kuah sebelum dihidangkan.
  9. Semasa menghidang, masukkan laksa kemudian kuah laksa. Selepas itu, taburkan hirisan timun, hirisan salad, hirisan bawang besar, cili padi, limau nipis dan telur.
  10. Selamat mencuba.

Tips berguna :

  • Untuk kuah yang lebih enak, anda juga boleh kisarkan sedikit isi nenas dan tuangkan ke dalam kuah laksa. Empulur nenas pula dimasukkan ke dalam kuah (tidak perlu kisar).
  • Anda juga boleh mencampurkan otak udang ke dalam kuah laksa.
  • Untuk lebih ‘hipster’ seperti di kedai yang viral. Anda juga boleh membuat telur sarang untuk dimakan bersama laksa.
  • Kuah laksa lebih sedap jika dipanaskan semula keesokan harinya. Jadi anda boleh memasaknya lebih awal sebelum dihidangkan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × 5 =