Resepi roti john

Resepi Roti John Yang Sedap Dan Mudah

Bagaimanakah cara untuk membuat roti john yang sedap dan mudah? Roti John merupakan menu makanan jalanan yang popular terutamanya ketika bulan Ramadhan. Hidangan roti john adalah ringkas namun keenakkannya menjadi tarikan ramai.

Pengenalan

Roti john merupakan antara jenis ‘street food’ yang agak popular di Malaysia. Hidangan ini seolah-olah seperti kebab namun bezanya adalah tambahan campuran telur dan jenis roti yang berlainan. Selain itu, cara untuk membuat roti john tidaklah rumit dan bahan-bahannya juga mudah didapati. Jadi pada kali ini, penulis akan kongsikan kepada anda semua dengan resepi roti john yang mudah dan sedap untuk dicuba di rumah.

Masa memasak: 40 minit

Jumlah hidangan: 4 orang

Bahan-Bahan untuk Resepi Roti John

  • roti john/roti panjang belah tengah (saya guna roti john saiz kecil ada 8 biji)
  • 1 bungkus daging kisar 400g
  • 1 biji bawang holland dicincang kasar
  • 4 ulas bawang putih dicincang kasar
  • 3 sudu serbuk kari daging
  • 1 sudu besar serbuk cili
  • 1 sudu besar serbuk ketumbar
  • 1 sudu besar serbuk jintan manis
  • 1 sudu besar serbuk jintan putih
  • 6 biji telur
  • Butter atau majerin untuk sapu roti
  • Kobis dihiris nipis
  • Lobak merah dihiris panjang nipis
  • Mayonis
  • Sos cili
  • Kepingan cheese/ keju cheddar
  • Minyak secukupnya
  • Garam secukupnya
  • Sedikit air

Cara-Cara memasak Resepi Roti John

  1. Mula-mula, bakar dahulu roti yang telah disapu dengan majerin. Bakar dengan api perlahan sehingga sedikit garing. Ketepikan.
  2. Kemudian, masukkan daging kisar dalam mangkuk. Campurkan bersama serbuk kari, serbuk cili, serbuk jintan dan serbuk ketumbar. Gaul dan ketepikan.
  3. Selepas itu, panaskan setengah cawan minyak dalam kuali dan tumiskan bawang holland dan bawang putih sehingga naik bau.
  4. Setelah bawang layu, masukkan daging cincang yang telah digaul bersama serbuk-serbuk rempah tadi. Kacau rata, masukkan sedikit air jika terlalu kering.
  5. Kemudian masukkan garam secukupnya. Boleh rasa untuk memastikan ia cukup rasa dan matikan api. Biarkan ia sejuk sedikit.
  6. Kemudian, masukkan daging cincang yang siap digoreng ke dalam mangkuk yang berisi telur yang telah dipukul bersama 1 sudu kecil garam. Kacau rata semua sehingga sebati menjadi kuah inti.
  7. Setelah itu, panaskan sedikit minyak atas kuali leper, masukkan 1 senduk kecil kuah inti (senduk ikut anggaran saiz roti yang digunakan), ratakan dan letakkan roti yang dibelah dua di atas kuah inti. Letak segera supaya telur yang masak dapat melekap pada roti.
  8. Setelah telur masak dan sedikit garing, boleh angkat.
  9. Sebelum lipat dua roti, letakkan kepingan cheese/keju. Kemudian letak kobis dan lobak. Dan akhir sekali letak sos dan mayonis. Selepas itu, lipat roti tersebut.

Tips Berguna:

  • Semasa menyenduk inti atas kuali leper, pastikan api kecil. Ini untuk memastikan inti tidak masak terlalu cepat sehingga tak sempat nak cantum dengan roti. Ia akan menyebabkan inti dan roti terlerai.
  • Kepingan cheese perlulah letak semasa roti john masih panas supaya cheese menjadi lebih cair.
  • Boleh juga gantikan kepingan cheese dengan sos keju.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

20 − 19 =